SEREMBAN: Kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan cadangan pelaksanaan program pelupusan motosikal lama, namun inisiatif berkenaan perlu dimulakan terlebih dahulu oleh pihak pengeluar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan ini serupa dengan program pelupusan kereta lama yang sebelum ini bermula daripada inisiatif syarikat pengeluar kereta sendiri.
Kerajaan kemudiannya memberikan sokongan bagi memastikan program berkenaan memberi manfaat kepada industri automotif serta pengguna.
“Setakat ini belum ada cadangan khusus mengenai pelupusan motosikal lama. Perkara ini memerlukan inisiatif daripada pihak pengeluar terlebih dahulu. Seperti program kereta lama sebelum ini, ia bermula daripada inisiatif syarikat pengeluar sendiri dan kerajaan kemudian menambah sokongan,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha Kali Ke-28 di sini hari ini.
Katanya, kerajaan tidak boleh melaksanakan program berkenaan tanpa cadangan awal daripada pihak industri.
“Tidak boleh kalau semua hendak berharap kepada kerajaan semata-mata. Pengeluar perlu membawa dahulu inisiatif tersebut sebelum kita membincangkannya,” katanya.
Katanya, bantuan kerajaan setakat ini hanya diberikan kepada pengeluar kereta tempatan iaitu Proton Holdings Berhad dan Perodua bagi menyokong pembangunan industri automotif negara.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 5,000 pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bakal menerima Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama untuk membeli kereta baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga serta mesra alam.
Anthony Loke berkata, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000 yang turut dipadankan oleh syarikat pengeluar kereta tempatan. – UTUSAN











