KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN buat pertama kalinya di Menara PGRM, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri tiga presiden daripada empat parti komponen PN iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan.
Selain itu turut hadir ialah pemimpin kanan parti komponen iaitu Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Turut hadir, Naib Presiden Bersatu dan juga Pemangku Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr. Radzi Jidin.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat kali ini akan memutuskan beberapa perkara termasuk pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Beberapa perkara akan diputuskan termasuk pelantikan Ketua Pembangkang,” katanya ketika ditemui sebelum mempengerusikan mesyuarat sebentar tadi. – UTUSAN










