Konflik Asia Barat: Subsidi BUDI95, diesel melonjak RM3.2 bilion

Konflik Asia Barat: Subsidi BUDI95, diesel melonjak RM3.2 bilion

AMIR Hamzah Azizan pada sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel melonjak masing-masing kepada RM2 bilion dan RM1.2 bilion susulan kenaikan harga minyak global akibat pergolakan dan konflik di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebelum itu jumlah tanggungan subsidi berjumlah RM700 juta untuk kedua-dua bahan api itu yang dinilai dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, kesan konflik rantau itu, kerajaan perlu menanggung jumlah subsidi bulanan keseluruhan RON95 dan diesel, RM3.2 bilion melibatkan kenaikan keseluruhan subsidi itu, sebanyak RM2.5 bilion.

“Kerajaan akan pastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri, di sini semalam.

Katanya, beban (subsidi) itu masih boleh ditampung kerajaan susulan pelaksanaan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun pentadbiran kerajaan.

Amir Hamzah berkata, harga minyak dunia, naik mendadak dalam masa dua minggu ini dari­pada AS$60 setong dan pernah mencecah setinggi AS$119 dolar setong dan kini adalah sekitar AS$100 dolar setong.

Katanya, jika sekatan di Selat Hormuz itu berlaku dalam jangka masa yang panjang, ia pasti­nya akan memberi impak besar kepada harga minyak dunia.

“Seperti dimaklumkan Perdana Menteri, kita ada cukup bahan tenaga, petrol dan diesel dan Petronas dan lain-lain syarikat minyak di dalam negara ini sedang berusaha juga untuk memanjangkan bekalan yang ada dalam negara.

“Jadi Alhamdulillah kita tak ada gangguan bekalan seperti mungkin yang ada di beberapa negara di luar sana,” katanya.

Malaysia katanya bernasib baik kerana mempunyai bekalan yang baik daripada segi gas asli termasuk kemudahan cari gali di dalam negara.

Kapasiti penapisan minyak negara dan pengeluaran minyak serta gas dalam negara juga membantu memastikan bekalan mencukupi selain kemudahan simpanan yang ada juga menyokong kestabilan bekalan.

Bekalan bahan api di seluruh negara dijangka tidak terjejas sepanjang Aidilfitri meskipun berlaku peningkatan pergerakan orang balik kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×