KUALA LUMPUR: Bekas pembantu tadbir kewangan sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang pelanggan fakulti pergigian berjumlah RM204,603.10 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Nur Hasanah Abdul Rahim, 35, yang ketika kejadian bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di fakulti pergigian sebuah universiti didakwa telah melakukan pecah amanah wang tunai bayaran pelanggan berjumlah RM204,603.10 untuk kegunaannya sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter tunai di fakulti pergigian universiti itu di antara 2 Oktober 2017 dan 20 Februari 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham mencadangkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin namun wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia kini bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan RM1,800 sebulan serta mempunyai dua anak yang bersekolah.
“Saya mohon jaminan RM10,000 kerana saya perlu membayar sewa rumah dan anak sulung saya berumur sembilan tahun adalah autism selain bapa saya juga tidak sihat,” kata Nur Hasanah yang turut memberitahu suaminya bekerja sebagai juruteknik.
Hakim Azrul Darus menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 April ini. – UTUSAN










