GEORGE TOWN: Dua pekerja sebuah taska di Seberang Jaya yang direman polis bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan, Isnin lalu didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP) seperti yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, ketika kejadian, kedua-dua individu terbabit merupakan antara pengasuh yang bertugas di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, taska tersebut berdaftar secara sah serta mematuhi syarat berkaitan pendaftaran dan National Integrated System of Childcare (NISPA) namun, terdapat isu berkaitan pengurusan syif serta pematuhan keperluan latihan KAP dalam kalangan pengasuh yang bertugas.
“Taska ini memang berdaftar secara sah dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Namun, dua pengasuh yang ditahan polis itu didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata seperti yang diwajibkan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Bayi berkenaan, Hayl Haarith Mohd Syafaeez meninggal dunia disyaki akibat didera semasa berada di sebuah taska terbabit sebelum ini.
Susulan kejadian itu, kedua-dua pengasuh tersebut direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, kegagalan mengikuti KAP merupakan perkara serius kerana kursus tersebut adalah antara syarat penting bagi memastikan pengasuh mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas dalam mengendalikan bayi serta kanak-kanak di taska.
Katanya, sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memperketat pemantauan dan lebih kerap melakukan pemeriksaan bagi memastikan semua pengusaha taska mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, taska berkenaan diarahkan menghentikan operasi sementara susulan kejadian tersebut bagi membolehkan siasatan polis dijalankan.
Katanya, pusat jagaan itu sebelum ini menempatkan seramai 44 kanak-kanak berusia bawah empat tahun termasuk mangsa dan kebanyakan bayi atau kanak-kanak yang ditempatkan di situ merupakan anak kepada kakitangan sebuah hospital berhampiran.
“Susulan penutupan itu juga, seramai 43 kanak-kanak kini perlu mendapatkan pusat jagaan alternatif dan JKM juga telah menyediakan senarai taska lain bagi membantu ibu bapa mendapatkan tempat penjagaan baharu.
“Taska itu difahamkan telah beroperasi kira-kira empat tahun dan mempunyai tujuh orang pengasuh yang masih dalam tempoh untuk mengambil KAP, setakat ini tiada aduan rasmi pernah diterima sebelum kejadian terbabit dilaporkan,” katanya. – UTUSAN










