Jangan terburu-buru kahwin pendatang asing - Al-Sultan Abdullah

Jangan terburu-buru kahwin pendatang asing – Sultan Pahang

SULTAN Pahang (dua dari kiri) mengaminkan doa selepas merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Kampung Simpang Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap kecenderungan peningkatan perkahwinan antara wanita tempatan dengan warga asing yang berpotensi membawa kesan buruk jika tidak dibuat dengan penelitian serta pertimbangan matang.

Baginda bertitah, Islam tidak melarang perkahwinan merentasi bangsa dan sempadan selagi mematuhi lunas syarak dan undang-undang.

Bagaimanapun titah baginda, wanita di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terburu-buru membuat keputusan kerana perkahwinan adalah amanah besar yang menentukan masa depan serta maruah diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkahwinan bukan sekadar ikatan rasa, tetapi suatu tanggungjawab besar yang menentukan arah perjalanan hidup seseorang. Dalam membuat pilihan, berhati-hatilah agar tidak tersalah langkah kerana kesannya boleh berpanjangan sepanjang hayat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi, di sini yang dibina dengan kos kira-kira RM4.8 juta, malam tadi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, terdapat kemungkinan segelintir individu warga asing mempunyai niat tidak baik terhadap wanita tempatan termasuk mengambil kesempatan atau memperdaya demi kepentingan peribadi.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan wanita yang berhasrat melangkah ke alam perkahwinan supaya menyelidik dengan teliti latar belakang bakal pasangan termasuk asal usul, pekerjaan serta kemampuan sebenar mereka sebelum membuat keputusan.

“Jangan mudah terpesona dengan janji manis atau gambaran indah semata-mata kerana air yang tenang jangan disangka tiada buaya,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini