PETALING JAYA: Boustead Properties Berhad (Boustead Properties), anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), menawarkan pengecualian dan rebat sewa, selain bantuan komersial dan lain-lain sokongan berjumlah kira-kira RM18 juta kepada hampir 350 penyewa di enam hartanah komersialnya di seluruh negara.
Inisiatif itu diberikan kepada peniaga dan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkemungkinan mengalami masalah aliran tunai ketika mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Boustead Properties, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sepanjang PKP 1.0 dan 2.0, tawaran pengecualian dan rebat sewa yang diberikan oleh Boustead Properties telah membantu penyewa dalam pelbagai kategori
perniagaan serta perkhidmatan yang penting dan kritikal.
Beliau berkata, menyedari sektor peruncitan antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik, inisiatif Boustead Properties itu telah membolehkan syarikat dan para peniaga terus beroperasi dan membawa manfaat kepada penyewa dan pembeli.
“Dalam suasana yang luar biasa ini, ada yang menghadapi cabaran lebih besar berbanding yang lain. Kami memahami keperluan kitaran penuh komuniti perniagaan kami dan membuat keputusan bahawa sekarang adalah masa yang tepat dan penting untuk membantu penyewa yang kami juga anggap sebagai rakan niaga strategik, sekali gus dapat melindungi kebajikan pekerja mereka.
“Kami juga mahu memastikan kami dapat membantu PKS tempatan yang lebih kecil, dan juga rakyat Malaysia termasuk
pengendali gerai makanan, pasar jalanan dan gerai penjaja di pusat beli-belah ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BHB, inisiatif itu sejajar dengan nilai-nilai kelestarian Boustead Properties, telah membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para penyewa akibat pandemik dan menggalakkan kesinambungan perniagaan.
Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa dalam suasana paling sukar ini, Boustead Properties perlu merangka semula strategi perniagaan menerusi pendekatan yang lebih empati dan mengambil langkah-langkah yang menjamin kelestarian.
“Kumpulan akan melakukan apa yang mampu untuk mengurangkan kesan pandemik sementara menantikan pembukaan semula ekonomi dan fasa pemulihan.
“Usaha ini sejajar dengan strategi Reinventing Boustead kerana kami yakin inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan untuk
meningkatkan kelestarian, yang bukan sahaja menjadi pemangkin bagi mencapai pertumbuhan perniagaan kami pada masa depan, tetapi juga demi manfaat rakanrakan niaga dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN










