SEREMBAN: Suami kepada pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini semalam atas pertuduhan menipu dua berhubung urusan mendapatkan darjah kebesaran Dato’ dan tanah kurniaan membabitkan kerugian RM293,931.
Tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Terdahulu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.
Transaksi itu untuk mendapat tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Dato’.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Dato’ Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2 di antara 2 April hingga 12 November 2025.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin selain isterinya berserta syarat tambahan berhubung kes penipuan tanah dan RM 3,000 berkaitan kes darjah kebesaran.
Dalam pada itu, isteri tertuduh iaitu pelakon Azar Azmi yang mengenakan jubah hitam untuk mendengar prosiding pertuduhan suaminya mahu diberikan ruang berhubung kes tersebut.
“Saya minta maaf ya, kalau boleh tolong bagi ruang dekat saya. Insya-Allah kalau ada apa-apa nanti saya akan beritahu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, Azar telah dibebaskan oleh pihak polis lebih kurang pukul 8 pagi semalam.
“Pelakon wanita ini dibebaskan selepas suaminya didakwa di mahkamah dan dia akan dibebaskan tanpa syarat dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.
“Setakat ini, di Negeri Sembilan masih dua kes disiasat melibatkan pelakon dan suaminya iaitu kes tipu tanah kurniaan dan urusan darjah kebesaran Dato’ yang tidak wujud,” katanya ketika dihubungi.
Azahar berkata, satu kes tipu pelaburan lembu di Kuala Lumpur masih menunggu arahan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya berhubung siasatan kes.-UTUSAN











