Harimau Malaya kena rantai Xuan Son

Harimau Malaya kena rantai Xuan Son

Pemain naturalisasi Vietnam, Son Nguyen (kiri) beraksi menentang Myanmar dalam satu kejohanan peringkat ASEAN. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski perlu melakukan persediaan rapi bagi mengekang ancaman yang bakal diberikan Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 di Hanoi pada 31 Mac ini.

Ini selepas skuad Naga Emas membuat perancangan awal dengan memanggil penggempur naturalisasi, Nguyen Xuan Son untuk menerajui jentera serangan pasukan yang dikendalikan Kim Sang Sik bagi merebut peluang ke Piala Asia 2027.

Biarpun Vietnam belum mengumumkan senarai penuh pemain, kelab Xuan Son iaitu Thep Xanh Nam Dinh telah mengumumkan pemain kelahiran Brazil itu bersama Nguyen Van Vi telah dipanggil untuk memperkuatkan skuad Naga Emas.

“Tahniah kepada Xuan Son dan Van Vi yang tersenarai dalam skuad akhir Vietnam bagi menghadapi tempoh antarabangsa FIFA Mac 2026 serta aksi kelayakan Piala Asia 2027,” umum Nam Dinh di laman Facebooknya, semalam.

Kehadiran Xuan Son pasti menjadi ancaman besar buat benteng Harimau Malaya kerana pemain berkenaan cukup berbisa dan telah memberi impak segera kepada Vietnam dalam enam penampilannya selepas proses naturalisasi.

Tonggak Nam Dinh itu berjaya menjaringkan lapan gol dalam enam penampilan bersama Vietnam, dengan tujuh daripadanya terhasil ketika muncul sebagai penjaring terbanyak ASEAN Mitsubishi Cup 2024.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu tidak berada dalam skuad ketika mereka tewas 0-4 kepada Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas berdepan kecederaan serius yang memaksanya berehat panjang.

Bagi kem Malaysia, mereka perlu mengetepikan ‘isu’ yang membabitkan tujuh pemain warisan dengan tumpuan 100 peratus wajar diberikan bagi memastikan kemenangan menjadi milik negara.

Anak buah Cklamovski juga tidak perlu memikirkan sama ada pasukan akan dipotong mata atau tidak dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, kerana kemenangan dengan skuad ‘tulen’ sahaja mampu memulihkan maruah Malaysia.

Ketika ini, Malaysia menunggu penuh debar keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sama ada bakal ditolak enam mata atau tidak selepas menurunkan pemain tidak layak ketika menang 2-0 ke atas Nepal dan 4-0 ke atas Vietnam dalam dua aksi awal kelayakan.

Skuad kendalian Cklamovski kini berada di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata hasil rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, manakala Vietnam ditangga kedua dengan juara kumpulan sahaja akan layak beraksi di Arab Saudi tahun depan.

Sebelum bertemu Malaysia, anak didik Sang Sik bakal turun dalam satu aksi persahabatan berdepan Bangladesh pada 26 Mac sebelum menentang Harimau Malaya lima hari kemudian, manakala Malaysia bakal melakukan persiapan di Bangkok, Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×