Harga minyak mentah dunia kembali susut - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah dunia kembali susut

SEBUAH kapal tangki minyak memunggah minyak mentah di terminal di pelabuhan di Qingdao, di wilayah Shandong timur China pada 11 Mac 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global kembali menyusut dengan penanda aras Brent didagangkan sekitar AS$87 (RM349.23) setong susulan cadangan pelepasan rizab petroleum strategik bagi memastikan bekalan tenaga global kekal mencukupi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan harga itu berlaku selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyarankan agar negara-negara pengguna utama melepaskan sebahagian daripada simpanan rizab petroleum strategik bagi menambah bekalan di pasaran.

“Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan harga tenaga yang sebelum ini meningkat akibat ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik yang melibatkan Iran.

“Dengan pelepasan rizab petroleum, bekalan tambahan dijangka dapat meredakan tekanan ke atas harga minyak dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, secara keseluruhannya harga minyak Brent dijangka bergerak dalam julat antara AS$85 (RM333.53) hingga AS$95 (RM372.77) setong bergantung kepada perkembangan geopolitik serta tahap bekalan global.

Sekitar pukul 5 petang semalam, harga minyak mentah Brent didagangkan pada AS$89.82 (RM352.45) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) pada AS$85.64 (RM336.05) setong.

Terdahulu dalam dagangan Asia, harga WTI melonjak lebih lima peratus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan ancaman berkaitan Selat Hormuz, laluan strategik yang secara berkesan telah ditutup oleh Iran.

Beliau berkata, cadangan IEA berpotensi menstabilkan harga bahan api global, namun keberkesanannya bergantung kepada tempoh konflik geopolitik semasa serta sejauh mana gangguan bekalan minyak dapat dikawal.

Menurutnya, buat masa ini masih sukar untuk menentukan tempoh penurunan harga minyak mentah kerana keadaan geopolitik di Asia Barat masih tidak menentu.

“Terdapat beberapa petunjuk bahawa konflik mungkin tidak berlarutan terlalu lama apabila Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa perang tersebut berkemungkinan berakhir dalam tempoh terdekat sekiranya rundingan berjaya dicapai.

“Namun begitu, perkembangan di Iran menunjukkan situasi mungkin menjadi lebih kompleks apabila negara itu baru sahaja melantik pemimpin agung baharu, Mojtaba Khamenei, anak kepada Ali Khamenei, selepas kematian pemimpin terdahulu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×