MELBOURNE: Pasukan McLaren mengakui memulakan kempen Formula Satu (F1) musim 2026 dalam keadaan ketinggalan apabila dianggarkan sehingga satu saat lebih perlahan berbanding pencabar utama, Mercedes.
Juara dunia bertahan, Lando Norris menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam aksi pembuka musim Grand Prix (GP) Australia, minggu lalu selepas ketinggalan lebih 50 saat di belakang juara, George Russell.
Norris menjadi satu-satunya wakil McLaren yang menamatkan perlumbaan selepas rakan sepasukannya, Oscar Piastri terlibat dalam kemalangan sebelum perlumbaan bermula.
Prinsipal pasukan McLaren, Andrea Stella mengakui jurang prestasi pasukannya dengan jentera hadapan masih ketara berdasarkan analisis data sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Kami perlu meningkatkan prestasi dalam dua aspek utama iaitu penggunaan unit kuasa serta cengkaman kereta di selekoh,” katanya.
Menurut Stella, McLaren masih cuba memahami punca sebenar kereta mereka kelihatan lebih perlahan berbanding jentera lain yang menggunakan unit kuasa sama, khususnya selepas pengenalan peraturan baharu F1 musim ini.
Stella berkata, analisis data GPS turut menunjukkan jentera Mercedes lebih laju di beberapa selekoh sekali gus memberi gambaran jelas tentang kelemahan yang perlu diperbaiki.- AGENSI/UTUSAN











