Hasrat beraya di tanah air hampir musnah, akhirnya syukur dapat pulang

Hasrat beraya di tanah air hampir musnah, akhirnya syukur dapat pulang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pasangan kembar yang juga pelajar tahun dua Universiti King Saud, Riyadh, Arab Saudi bersyukur apabila mereka akhirnya dapat menyambut Aidilftri bersama ahli keluarga tahun ini.

Munawwar dan adik kembarnya, Munawwir Mohd Azuhar, 23, mengakui sudah pasrah apabila dimaklumkan tiket penerbangan pulang mereka ke tanah air pada 7 Mac lalu dibatalkan akibat konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, impian itu kembali bersinar apabila mereka akhirnya dapat pulang ke tanah air menerusi penerbangan khas oleh Kerajaan Malaysia.

Munawwar dan Munawwir adalah antara 163 rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.32 tengah hari tadi.

Munawwar ketika ditemui berkata, dia dan adiknya telah menempah tiket penerbangan pulang ke Malaysia pada 7 Mac lalu namun, ia dibatalkan susulan konflik di Timur Tengah

Pelajar tahun dua jurusan Usul Fiqh itu berkata, selain dia dan adiknya, ada lapan lagi pelajar Malaysia dari universiti sama tidak dapat pulang disebabkan pembatalan penerbangan itu.

“Ketika itu, kami pasrah namun, dua hari lalu kami dihubungi pejabat konsulat Malaysia di Jeddah yang menawarkan penerbangan khas itu.

“Alhamdulillah, kami selamat tiba di tanah air hari ini. Kami gembira dapat pulang,” katanya.

PASANGAN kembar yang juga merupakan penuntut Universiti King Saudi Riyadh, Arab Saudi, Munawwar Mohd Azuhar (dua kanan) dan adik kembarnya, Munawwir Mohd Azuhar memeluk ibu bapanya sejurus tiba di KLIA selepas terkandas akibat konflik di rantau Asia Barat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Ditanya apa keinginan juadah untuk berbuka puasa hari pertama bersama keluarga hari ini, Munawwar berkata, dia teringin untuk menikmati mee ayam dan nasi lemak yang dimasak ibunya.

“Saya dah ‘save’ banyak video juadah berbuka di TikTok. Antara juadah yang saya nak makan adalah mee ayam dan nasi lemak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia bersyukur kerana tidak berdepan sebarang kesukaran ketika berada di Riyadh kerana situasi cemas sebenarnya berlaku di Bahrain dan UAE serta beberapa negara lain.

Sementara itu, ibu mereka, Juhari Abu Bakar, 52, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia bertemu anak kembarnya itu adalah Jun tahun lalu ketika mereka pulang sempena cuti semester.

“Alhamdulillah, dapat juga mereka pulang beraya tahun ini. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu memudahkan pergerakan pulang anak saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×