Hizbollah bedil aset tentera Israel dekat Tel Aviv - Utusan Malaysia

Hizbollah bedil aset tentera Israel dekat Tel Aviv

KERETA-kereta kebal Israel ditempatkan di utara sepanjang sempadan Israel-Lubnan pada 8 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Hizbollah pada Isnin berkata pihaknya telah menyasarkan pangkalan Markas Pemerintah Israel di Ramla, berhampiran Tel Aviv, dengan peluru berpandu canggih ketika perang antara kumpulan pro-Iran itu dan Israel memasuki minggu pertama.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, ia menyasarkan pangkalan tersebut sebagai tindak balas terhadap pencerobohan jenayah Israel yang telah melanda puluhan bandar dan pekan di Lubnan serta kawasan pinggir selatan Beirut.

Hizbollah turut  melancarkan roket jarak jauh ke arah kemudahan ketenteraan dan komunikasi Israel, termasuk stesen komunikasi satelit di Lembah Elah serta pangkalan tentera berhampiran Tel Aviv kelmarin.

Menerusi hantaran di aplikasi Telegram, kumpulan itu berkata, pejuang-pejuangnya menyerang sebuah stesen komunikasi milik di Lembah Elah, kira-kira 160 kilometer (km) dari sempadan Lubnan, menggunakan roket canggih.

Tapak Lembah Elah menempatkan sebuah stesen pemancar satelit tertua Israel yang dibina pada awal 1970-an, dengan puluhan antena besar digunakan untuk komunikasi dan penghantaran data.

Dakwaan kumpulan itu dibuat selepas roket yang dilancarkan dari Lubnan mencetuskan siren amaran di seluruh kawasan Tel Aviv dan tanah rendah Shfela, dengan beberapa projektil jatuh di kawasan lapang.

Pihak berkuasa Israel  berkata, seramai  18 orang cedera ringan, termasuk sekurang-kurangnya 13 orang di Ramla.

Kumpulan itu juga menyerang kenderaan Israel dengan peluru berpandu ketika pasukan Israel cuba mara di sepanjang barisan hadapan selatan Lubnan.

“Pesawat perang musuh melancarkan serangan sepanjang malam ke atas bandar Almajadel, Shaqra dan Srifa,” menurut laporan National News Agency (NNA).

Serangan berterusan ketika konflik serantau semakin memuncak, dengan Israel menyasarkan kedudukan Hizbollah di Lubnan.

Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun menyeru rundingan langsung yang dimediasi di peringkat antarabangsa dengan Israel, termasuk gencatan senjata untuk menghentikan serangan ke atas negara tersebut dan mengelakkan negara itu terperangkap dalam konflik di Asia Barat. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×