Gangguan bekalan minyak dunia

Gangguan bekalan minyak dunia

Bekalan minyak mentah dunia terganggu susulan penutupan Selat Hormuz berikutan Serangan AS dan Israel ke atas Iran. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan mi­nyak dunia terganggu selepas negara pengeluar di Asia Barat memotong pengeluaran susulan penutupan Selat Hormuz.

Iran bertindak menutup laluan itu sebagai tindak balas serangan dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang masuk minggu kedua.

Arab Saudi dilapor mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak dua juta kepada 2.5 juta tong sehari, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebanyak 500,000 hingga 800,000 tong sehari.

Kuwait pula dikatakan me­ngurangkan pengeluaran kira-kira setengah juta sehari dan Iraq kira-kira 2.9 juta sehari.

Gangguan bekalan minyak memburukkan pasaran tenaga dunia, menyebabkan harga mi­nyak mentah Brent melonjak hingga AS$120 setong kelmarin, sebelum kembali jatuh ke paras sekitar AS$92 setong semalam, selepas Presiden Donald Trump menyatakan perang akan ber­akhir tidak lama lagi.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) bagaimanapun berkata, mereka tidak akan membenarkan sebarang minyak dihantar dari Asia Barat jika serangan AS dan Israel berterusan.

Dalam pada itu, Trump pula berkata, AS akan melancarkan serangan lebih keras jika Iran menyekat laluan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser memberitahu Reuters, penutupan Selat Hormuz akan mengakibatkan bencana kepada pasaran minyak dunia.

“Semakin lama gangguan berlaku, semakin drastik akibatnya terhadap ekonomi global,” kata beliau. Aramco merupakan pengeskport minyak mentah utama dunia.

JP Morgan pula memberi amaran, cubaan AS dan Israel untuk merampas Pulau Kharg, Iran di Teluk Parsi akan hanya memburukkan krisis tenaga global, apabila eksport minyak Iran terjejas. Pulau itu dilaporkan me­ngendalikan kira-kira 90 peratus daripada eksport minyak mentah Iran, antara negara pengeskport utama komoditi itu.

Krisis mengakibatkan beberapa negara mula berdepan kekurangan bekalan dan mula megeluarkan simpanan minyak masing-masing. United Kingdom (UK) misalnya, mengumumkan akan mengeluarkan simpanan kecemasan minyaknya bagi mengurangkan impak.

Korea Selatan pula dilaporkan mengenakan had harga ke atas produk bahan api buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun. Langkah sama turut diambil oleh Taiwan.

Di Malaysia, firma penyelidikan Maybank Investment Bank (IB) berkata, konflik berterusan di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sekiranya gangguan bekalan minyak global berpanjangan.

“Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu sudah menunjukkan tanda semakin memuncak, dengan laporan serangan terhadap kemudahan minyak dan gas di rantau itu,” katanya dalam nota penyelidikan.

Jelas Maybank IB, risiko terbesar adalah gangguan kepada aliran bekalan minyak termasuk laluan perkapalan di Selat Hormuz yang mengurus satu perlima perdagangan minyak mentah dan produk petroleum dunia.

“Gangguan terhadap pe­ngeluaran dan penghantaran minyak di Asia Barat boleh memberi kesan kepada bekalan, selain menimbulkan risiko keselamatan kepada kapal yang melalui selat itu,” katanya.

Maybank IB menganggarkan kenaikan secara berterusan 10 peratus harga minyak mentah boleh mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar global sekitar 0.2 mata peratusan.

“Keadaan ini sekali gus dikhuatiri memberikan kesan limpahan negatif kepada ekonomi negara yang bergantung besar kepada perdagangan global seperti Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof, Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu mempunyai pelan jangka pendek dan sederhana untuk bantuan fiskal sekiranya situasi di Asia Barat berpanjangan, sehingga boleh mengancam ekonomi global.

Beliau berkata, ia perlu kerana kesan daripada peperangan itu sudah mula dirasai dengan peningkatan mendadak harga minyak mentah dunia yang pasti memberikan kesan inflasi gandaan kepada peningkatan kos sara hidup.

Katanya, tekanan kewangan seperti pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan pasti akan berlaku jika konflik geopolitik terus berlarutan, justeru mencadangkan agar sasaran 3.5 peratus defisit fiskal dalam Belanjawan 2026 ditangguhkan dahulu demi kesejahteraan rakyat.

“Kadar inflasi akan naik mendadak terutama dari barangan makanan diimport, ia akan memberi kesan gandaan kepada peniaga makanan dan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian jualan.

“Jadi, dasar monetari diharapkan dapat dikekalkan iaitu Kadar Dasar Semalamam (OPR) pada 2.75 peratus kerana ia berupa subsidi tersembunyi dari aspek kewangan kepada semua pihak yang meminjam,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×