“Pembaziran makanan merupakan satu masalah serius di negara kita” - Utusan Malaysia

“Pembaziran makanan merupakan satu masalah serius di negara kita”

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye kesal terhadap isu pembaziran makanan yang kembali berulang terutama menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, apa yang mendukacitakan ialah pembaziran berlaku ketika masih ada golongan masyarakat yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan.

Katanya, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Pembaziran makanan merupakan satu masalah serius di negara kita, terutama ketika musim perayaan seperti Ramadan, Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

“Walaupun perayaan bertujuan mengeratkan hubungan serta menggalakkan amalan berkongsi rezeki, kita sering melihat banyak makanan yang berakhir sebagai sisa dan dibuang.

“Ketika masih ada golongan masyarakat yang berdepan kesukaran mendapatkan makanan, pembaziran ini amat dikesali. Selain itu, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar”, katanya dalam kenyataan.

Sehubungan, beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran makanan, sama ada melalui merancang pembelian makanan ataupun menyediakan makanan mengikut permintaan sebenar sahaja.

Pada masa yang sama, Lee juga menyarankan agar usaha bagi memastikan agar lebihan makanan yang masih selamat dimakan terus diperkasakan beserta dengan peningkatan dari segi pendidikan mengenai menghargai makanan di awal peringkat sekolah.

“Kita harus mengamalkan sikap bersederhana dan menghargai setiap rezeki yang ada.

“Mengurangkan pembaziran makanan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar”, tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×