PETALING JAYA: Harga emas dunia berpotensi mencatat paras rekod baharu di antara AS$5,500 hingga AS$6,300 (sekitar RM25,800 hingga RM29,600) seauns dalam tempoh dua tahun akan datang sekiranya ketegangan geopolitik global terus memuncak.
Semalam, harga emas melonjak 1.68 peratus pada pukul 4.30 petang kepada AS$5,190 (RM20,556.30) seauns berbanding penyusutan kelmarin.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, konflik ketenteraan yang berpanjangan sering meningkatkan permintaan terhadap aset selamat seperti emas.
“Ketidaktentuan geopolitik menyebabkan pelabur global beralih daripada aset berisiko kepada instrumen lindung nilai bagi melindungi nilai kekayaan mereka.
“Selain itu, risiko stagflasi yang dipacu oleh harga minyak tinggi turut menyokong kenaikan harga emas.
“Keadaan stagflasi gabungan pertumbuhan ekonomi perlahan dengan inflasi tinggi, lazimnya melemahkan prestasi aset kewangan tradisional, sekali gus meningkatkan daya tarikan emas sebagai penyimpan nilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, permintaan berterusan daripada bank-bank pusat dunia juga menjadi pemangkin penting.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak bank pusat meningkatkan pegangan emas dalam rizab mereka sebagai langkah mempelbagaikan aset dan mengurangkan kebergantungan kepada mata wang utama,” katanya.
Pada masa yang sama, jelasnya, potensi kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) turut memberi sokongan kepada harga emas.
“Apabila nilai dolar menurun, emas yang diniagakan dalam dolar menjadi lebih murah kepada pembeli antarabangsa, sekali gus meningkatkan permintaan global.
“Dengan gabungan faktor geopolitik, inflasi tenaga dan perubahan dasar monetari global, pasaran komoditi melihat emas kekal sebagai salah satu aset perlindungan utama dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.
“Jika ketegangan global terus memuncak, sasaran harga antara AS$5,500 hingga AS$6,300 seauns (sekitar RM25,800 hingga RM29,600) menjelang 2026 semakin berkemungkinan untuk dicapai,” katanya.
Harga emas meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa perang di Timur Tengah mungkin hampir berakhir, sekali gus menekan nilai dolar AS dan harga minyak.
Emas itu meningkat sehingga 0.9 peratus kepada lebih AS$5,180 (RM20,414.38) seauns, sekali gus memadamkan penurunan pada sesi dagangan sebelumnya.
Trump berkata, konflik tersebut dijangka diselesaikan “tidak lama lagi”, manakala indeks dolar susut sehingga 0.1 peratus, meneruskan penurunan yang bermula pada hari Isnin.
Harga minyak mentah pula merosot lebih 10 peratus dalam pasaran yang ketika ini berdepan turun naik luar biasa akibat dagangan yang sangat tidak menentu.
Sebarang petunjuk bahawa Rumah Putih bersedia menamatkan perang dengan Iran, yang kini memasuki minggu kedua, berpotensi mengurangkan tekanan yang sebelum ini menekan harga emas.
Penutupan berkesan laluan tenaga penting, Selat Hormuz, serta serangan peluru berpandu Iran terhadap infrastruktur tenaga telah menyebabkan harga minyak melonjak dan menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi global. – UTUSAN










