MELAKA: Walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah, ia tidak menghalang seorang peniaga makanan menjual lauk-pauk dengan harga murah iaitu serendah RM3 sepanjang Ramadan ini.
Setiap petang orang ramai sanggup menunggu seawal pukul 3 petang, meskipun jualan bermula pada pukul 4 petang setiap hari di gerainya di tepi jalan di Taman Rambai Tengah, Bukit Rambai di sini.
Bagi Siti Nur Shikin Ab. Aziz, 32, keputusan menjual lauk pada harga tersebut dibuat kerana mahu meneruskan niat berniaga sambil bersedekah pada bulan yang penuh keberkatan.
Menurutnya, walaupun kos barangan dapur semakin meningkat, dia berusaha memastikan pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan lauk pada harga yang murah dan mampu milik.
Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga kebiasaannya lauk yang disediakan habis dijual dalam tempoh singkat.
“Setiap hari saya menyediakan lebih 20 jenis lauk termasuk pelbagai hidangan ikan, ayam dan sayur, yang dijual pada harga RM3 sebungkus.
“Antara lauk yang dijual ialah ikan goreng seperti kembung, pelaling, mabong, kerisi. Ada tenggiri masak lemak belimbing, ayam goreng, tomyam ayam dan sebagainya.
“Selain lauk, nasi putih turut dijual pada harga RM2 bagi melengkapkan hidangan berbuka puasa pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Nur Shikin berkata, kebiasaannya dalam masa satu jam selepas gerai dibuka, kebanyakan lauk sudah habis dibeli pelanggan termasuk yang membuat tempahan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, idea menjual lauk pada harga murah itu tercetus Ramadan tahun lalu bagi memastikan lauk habis dalam masa singkat dan tidak berlakunya pembaziran. – UTUSAN










