Liga Mahasiswa tolak ancaman tindakan undang-undang kampus

Liga Mahasiswa tolak ancaman tindakan undang-undang kampus

AMMAR Daniel Noor Irwan (empat dari kiri) bersama ahli Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM) selepas sidang akhbar Ancaman Saman Universiti Malaya terhadap Mahasiswa di Rumah Mandiri, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang pertikaian antara pentadbiran universiti dan persatuan mahasiswa seharusnya ditangani melalui ruang dialog terbuka, bukannya dengan ancaman undang-undang.

Presiden Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM), Ammar Daniel Noor Irwan berkata, tindakan Universiti Malaya (UM) menggunakan saluran undang-undang terhadap LMUM atas alasan penggunaan nama universiti tanpa membuka ruang dialog adalah tidak wajar.

Menurutnya, pada 6 Mac lalu, pihaknya menerima emel daripada firma guaman Azmi & Associates yang mewakili UM dan mendakwa LMUM melanggar hak cap dagang universiti kerana menggunakan nama ‘Universiti Malaya’.

“Pihak UM telah menetapkan tempoh tujuh hari bermula 6 Mac lalu kepada kami untuk menandatangani surat aku janji serta menurunkan sebarang kaitan dengan universiti.

“Emel yang diterima turut mengandungi surat ‘cease and desist’ serta ‘letter of undertaking (LoU)’, yang mendakwa LMUM telah melanggar hak cap dagang universiti dengan menggunakan nama UM serta tidak mendaftar di bawh pihak UM.

“Sekiranya gagal mematuhi, kami akan dikenakan tindakan saman sivil dan pendekatan ini dianggap sangat kejam kerana membebankan gerakan mahasiswa yang tiada sumber kewangan mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar Ancaman Saman Universiti Malaya terhadap Mahasiswa di Rumah Mandiri, semalam.

Tambah Ammar Daniel, tempoh singkat itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan khidmat peguam serta menilai implikasi undang-undang terhadap organisasi pelajar yang masih baharu ditubuhkan.

Katanya, pendekatan sedemikian berpotensi mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan mahasiswa yang ingin terlibat secara aktif dalam aktivisme serta demokrasi kampus.

“Universiti seharusnya membuka ruang dialog agar pihak kami dapat mengemukakan jawapan serta perbincangan dapat dilakukan dengan lebih adil,’ katanya.

Selain itu, Timbalan Presiden LMUM, Ahsanul Akmal Muhammad Sulam pula mempersoalkan mengapa tindakan serupa tidak dikenakan kepada gerakan atau persatuan lain yang turut menggunakan nama UM.

Katanya, pihaknya tidak menolak untuk mendaftar secara rasmi, tetapi persoalannya mengapa tindakan sebegini dikenakan terhadap LMUM sebelum proses pendaftaran dijalankan, sedangkan persatuan lain yang menggunakan nama UM tidak dikenakan tindakan sama.

“”Kami bukan tidak mahu mendaftar secara rasmi, tetapi kami sedar proses itu akan mengambil masa lama, lebih-lebih lagi sebagai persatuan yang vokal menyuarakan hak mahasiswa.

“Namun apa yang ingin saya tekankan adakah persatuan lain yang menggunakan nama UM akan menghadapi tindakan serupa seperti yang dikenakan terhadap LMUM?,” soalnya.

Dalam pada itu, Presiden Liga Rakyat Demoktratik, Hamdin Nordin dalam kenyataan berkata, universiti tidak seharusnya membazirkan dana awam untuk menekan gerakan mahasiswa.

Katanya, perkara ini tidak seharusnya berlaku dan tindakan intimidasi undang-undang terhadap mahasiswa wajar dihentikan segera.

“Masyarakat perlu ketahui kos sebenar yang dibelanjakan untuk melantik firma guaman luar ini, kerana dana universiti melibatkan duit rakyat dan yuran mahasiswa dan tindakan menggunakan dana tersebut untuk menekan mahasiswa adalah pembaziran yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×