PETALING JAYA: Bunyi kecoh di luar rumah pada awal pagi tadi menimbulkan panik dalam kalangan penduduk sebelum mereka menyedari bahawa sebuah kereta milik aktivis, S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ telah terbakar.
Isterinya ketika ditemui media berkata, ketika kejadian dia dan anak sedang tidur manakala suaminya berjaga di ruang tamu sebelum terdengar kekecohan dari luar rumah.
“Ketika itu saya dan anak terus berlari bersembunyi di dalam bilik kerana trauma selepas terdengar bunyi kecoh di luar.
“Kami kemudian keluar selepas jiran memanggil dan memaklumkan bahawa kereta kami terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, jiran yang menyedari kejadian itu turut membantu memadamkan kebakaran, namun kereta jenis Proton Ertiga milik keluarga berkenaan musnah sepenuhnya.
“Kejadian sebelah petang itu pula saya tiada di rumah kerana bekerja cuma ada anak dan suami di mana individu terbabit yang menaiki Nissan Almera terus masuk ke kawasan rumah dan membakar kereta Perodua Viva,” jelasnya.
Katanya, salah seorang anaknya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) trauma dengan kejadian yang berlaku.
Sementara itu, Cikgu Chandra berkata, kereta Proton Ertiga itu juga digunakan sebagai pemandu E-Hailing namun rosak sepenuhnya. – UTUSAN











