BANGI: Seramai 25 orang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan berupa barangan dapur dan duit raya sempena Program Ambil Peduli dan Pengagihan Bubur Lambuk yang dianjurkan ahli kariah dan jawatankuasa Surau Al-Amirin, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.
Aktiviti yang dianjurkan itu adalah sebahagian daripada inisiatif memperkukuh semangat perpaduan, kesukarelawanan dan kebajikan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada majlis itu, ahli kariah turut bergotong-royong menghasilkan 500 pek bubur lambuk untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta penduduk sekitar.
Pengerusi surau itu, Datuk Abdul Rashid Mohd. Ghani berkata, inisiatif itu bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan serta mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
“Sumbangan yang dihulurkan itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada golongan memerlukan sempena keberkatan bulan Ramadan,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Orang Besar Daerah (OBD) Hulu Langat, Datuk Rosli Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd. Jusni Hashim.
Rosli turut memuji usaha pihak surau menganjurkan program seumpama itu yang mencerminkan kekuatan semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras kepada keharmonian masyarakat di daerah ini.
“Saya amat menghargai komitmen Surau Al-Amirin serta ahli kariah yang berganding bahu menjayakan inisiatif kebajikan seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk serta sumbangan yang dihulurkan kepada golongan yang berkelayakan sempena Ramadan ini.
“Dari tangan yang memberi, lahirnya senyuman yang diberkati. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah bulan untuk memperkukuh silaturahim dan menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.
Pada majlis itu juga, Abdul Rashid berbesar hati menyalurkan wakalah zakat perniagaan miliknya berjumlah RM75,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 akan disalurkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin dan RM25,000 lagi disalurkan kepada surau ini.
Untuk rekod, surau ini dibina sejak 2002 dengan menggunakan dana yang disumbangkan oleh individu dan syarikat.
Bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah, ia juga merupakan sebuah kompleks komuniti yang dilengkapi dengan Maahad Tahfiz, Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta dewan serbaguna. – UTUSAN










