BEIJING: China, yang sememangnya sudah dikenali sebagai kuasa besar tenaga angin dunia, kini melangkah ke dimensi baharu dengan menguji teknologi turbin angin terapung di ruang udara secara besar-besaran.
Menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan pelbagai institut, beberapa siri prototaip turbin terapung telah berjaya dihasilkan.
Teknologi yang menggunakan aerostat berisi gas helium ini mampu terapung pada ketinggian ribuan meter dan menghantar tenaga elektrik ke bumi melalui kabel tambatan, sehingga menjadi alternatif mudah alih kepada turbin angin konvensional.
Inisiatif ini diterajui oleh Universiti Tsinghua, Beijing, dengan kerjasama syarikat pemula, Beijing SAWES Energy Technology Co., Ltd. Dikenali sebagai Stratospheric Airborne Wind Energy Systems (SAWES), prototaip pertamanya telah diperkenalkan pada Oktober 2024, dan sejak itu, model-model baharu terus dibangunkan dengan saiz serta altitud yang lebih tinggi.
Model terbaharu, SAWES Jenis S2000, didakwa oleh pihak syarikat sebagai sistem penjanaan kuasa angin bawaan udara kelas megawatt pertama di dunia.
Dalam satu ujian yang dijalankan di Yibin, Wilayah Sichuan pada Januari lalu, model S2000 berjaya terapung pada ketinggian 2,000 meter dan buat pertama kalinya berjaya disambungkan ke grid kuasa nasional.
Sepanjang ujian tersebut, turbin ini menjana 385 kilowatt-jam (kWh) tenaga elektrik, jumlah yang mencukupi untuk membekalkan kuasa kepada sebuah rumah di Amerika Syarikat (AS) dengan purata selama kira-kira 13 hari.
S2000 mempunyai dimensi sepanjang 60 meter serta ketinggian dan lebar mencecah 40 meter, dilengkapi dengan 12 turbin yang mempunyai jumlah kapasiti kuasa sebanyak 3 megawatt (MW).
Sebagai perbandingan, turbin angin paling berkuasa di dunia pada masa kini yang dikeluarkan oleh Dongfang Electric Corporation mempunyai ketinggian 340 meter dengan kapasiti 26 megawatt.
Profesor Madya Penyelidik di Universiti Peking, Jianxiao Wang yang terlibat dalam projek tersebut berkata, SAWES mempunyai pelbagai kelebihan alam sekitar berbanding turbin tradisional.
“Kami menggunakan sehingga 90 peratus kurang bahan binaan berbanding turbin angin tradisional. Kami tidak memerlukan asas konkrit yang besar atau menara keluli (dan) tidak mengganggu ekosistem tanah,” katanya.
Tambah beliau, teknologi ini mempunyai impak visual dan bunyi yang sangat rendah di mana ia hampir tidak kedengaran dari paras bumi dan tidak menjejaskan pemandangan ufuk secara ketara. – CNN










