PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menyeru jentera serangan supaya lebih ‘kejam’ di hadapan gawang meskipun mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Katanya, kemenangan itu sesuatu yang membanggakan, namun Selangor masih perlu memperbaiki ketajaman penyudah jika mahu muncul sebagai pasukan yang benar-benar digeruni.
“Saya bangga dengan semua pemain kerana selepas perlawanan lalu kita tidak berada pada tahap terbaik.
“Minggu ini mereka menunjukkan reaksi yang sangat baik dalam latihan dan kebangkitan itu amat penting untuk pasukan.
“Kalau kita mahu jadi pasukan yang lebih baik, kita perlu perbaiki perkara ini. Kadang-kadang kita tidak cipta banyak peluang.
“Jadi apabila peluang itu datang, kita mesti manfaatkannya. Tabiat untuk menyudahkan peluang itu sangat penting,” katanya selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Pan Gon mengakui perjalanan Selangor masih jauh dan perlu terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum pasukan.
Beliau turut menegaskan persaingan untuk menamatkan musim di kedudukan kedua liga dijangka sengit sehingga ke penghujung musim.
“Kedudukan kedua sangat penting. Jadi sehingga ke akhir musim kita perlu kekalkan fokus dan terus berjuang.Persaingan ini bagus untuk menjadikan pasukan lebih kuat,” katanya.
Skuad Gergasi Merah bakal menghadapi ujian sebenar apabila bakal berdepan KL City FC dalam aksi liga super di laman sendiri. – UTUSAN










