Johor Port raih Anugerah 3 Diamond

Johor Port raih Anugerah 3 Diamond, perkukuh komitmen kelestarian

ARTHUR Joseph Kurup (tengah) menyampaikan anugerah tersebut kepada Md Derick Basir (kanan) pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, mencapai mercu tanda penting dalam agenda kelestariannya apabila meraih Anugerah Pengiktirafan 3 Diamond yang berprestij pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025. 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kelestarian Alam Sekitar dan Sumber Asli (NRES), Datuk Sri Arthur Joseph Kurup kepada Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan ketara pelabuhan itu dalam mengurangkan jejak alam sekitar.

Md Derick berkata, pengiktirafan di bawah kategori Zon Rendah Karbon bagi operasi di Pasir Gudang itu membuktikan bahawa aktiviti industri dan pelabuhan mampu berkembang secara bertanggungjawab seiring dengan penjagaan alam sekitar.

“Di Johor Port, amalan kelestarian bukanlah usaha yang berdiri sendiri, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada cara operasi kami setiap hari.

“Pasukan kami bekerja secara konsisten bagi memastikan pertumbuhan berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, selain menyokong aspirasi iklim Malaysia yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.

Berbanding tahun asas 2019, Johor Port berjaya mencapai peningkatan alam sekitar yang boleh diukur termasuk pengurangan 14.96 peratus dalam pelepasan karbon Skop 1 dan 2 menerusi kecekapan pengurusan tenaga, air dan sisa.

Selain itu, pelabuhan berkenaan turut berjaya memitigasi sebanyak 2,108.69 tCO2e pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) serta mencatatkan potensi penyerapan karbon sebanyak 15.41 peratus hasil daripada pemeliharaan kawasan hijau di persekitaran pelabuhan.

Pencapaian ini juga merupakan sebahagian daripada kejayaan ekosistem industri Pasir Gudang yang melibatkan kerjasama antara industri tempatan dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dalam mentransformasikan wilayah tersebut menjadi Hab Industri Rendah Karbon.

Pengiktirafan melalui kerangka Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) ini menyediakan pengesahan pihak ketiga yang teguh terhadap data pelepasan Johor Port, sekali gus memastikan ketelusan selaras dengan sasaran ESG 2030 syarikat.

Melangkah ke hadapan, Johor Port kekal komited untuk meneroka teknologi hijau inovatif dan memperkukuh kerjasama dengan rakan industri bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×