KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyalurkan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM22.75 juta bagi fasa pertama tahun ini kepada kerajaan negeri Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penyaluran dana terbabit merupakan tanda pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap usaha gigih Sabah mengekalkan kawasan perlindungan alam semula jadi.
“Penyaluran ini menyusuli dana tahun 2025 berjumlah RM35.69 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima Sabah sejak tahun 2019 mencecah RM126.357 juta demi menyokong projek konservasi biodiversiti.
“NRES terus memperkukuh sinergi strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu agenda kelestarian alam dan pengurusan sumber asli negara,” katanya pada majlis penyerahan dana itu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Arthur berkata, dalam kunjungan terbabit mereka turut menyentuh beberapa perkara termasuk perkara di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
“Ini termasuk pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang melibatkan pemberian kuasa kawalan buangan terjadual di darat dan perairan Sabah.
“Selain itu, proses penyerahan semula lot tanah Persekutuan kepada kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir untuk kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
Menyentuh aspek kelestarian alam, beliau turut berkongsi berkenaan dua tapak tanah lembap yang penting di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, ia melibatkan di Kinabatangan Segama serta di Kota Kinabalu iaitu Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan terbaharu adalah Rizab Biosfera Kinabatangan yang baru diiktiraf pada tahun lepas.
“Kestabilan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah adalah tunjang utama dalam memastikan warisan alam semula jadi kekal terpelihara demi kesejahteraan generasi masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan itu.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar
pemuliharaan alam sekitar kerajaan negeri yang kukuh. Kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










