KUALA TERENGGANU: Jenazah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, remaja yang ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang jejak ketika dalam perjalanan bercuti bersama keluarga ke Cameron Highlands, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, kira-kira pukul 2.50 petang ini.
Sebelum itu, jenazah anak sulung dari lima beradik tersebut disembahyangkan di Masjid Khalifah di Jalan Pusara selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Terdahulu, Ahmad Azreeq Zafreen yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dilaporkan kali terakhir dikesan berada di stesen minyak Petron Beting Lintang, Besut sebelum kehilangan jejak, Khamis lalu.
Sebelum itu, ibunya, Zaleha Awang bersama suaminya, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, dan lima anak mereka merancang bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti panjang hujung minggu.
Difahamkan, ibu bapa mangsa bersama empat anak yang lain menaiki kereta manakala Ahmad Azreeq Zafreen menunggang motosikal secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab. Rahim mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal milik mangsa di Kampung Bukit Jeruk kira-kira pukul 6.40 petang semalam. – UTUSAN











