PETALING JAYA: Sebanyak 25.31 peratus pembaziran makanan pada Ramadan tahun ini direkodkan Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 11.74 peratus pembaziran makanan berbanding Ramadan tahun lalu iaitu 37.05 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, analisis kategori sisa makanan mendapati hanya 25.31 peratus merupakan sisa yang benar-benar dibazirkan pada Ramadan tahun ini.
Katanya, pengurangan ketara direkodkan dalam pelupusan makanan yang masih boleh dimakan daripada 37.05 peratus tahun lalu kepada 25.31 peratus, tahun ini.
“Sepanjang 2024 dan 2025, Program MySaveFood@Ramadan berjaya menyelamatkan 70 tan lebihan makanan daripada bazar Ramadan seluruh negara untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Ia menandakan keberkesanan kempen termasuk Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran serta Program MySaveFood,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dapatan itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai makanan serta amalan perbelanjaan dan penyediaan juadah secara berhemah.
Jelasnya, jumlah sisa pepejal dilupuskan meningkat 10.02 peratus pada 2025 berbanding 2024, sejajar pertambahan populasi, peningkatan aktiviti ekonomi dan perubahan corak penggunaan masyarakat.
“Bagaimanapun, trend pelupusan sisa makanan pada Ramadan menunjukkan penurunan konsisten setiap tahun, daripada 40.97 peratus pada 2025 dan menurun kepada 39.62 peratus pada 2026.
“Bagi Ramadan tahun ini, pelupusan sisa makanan meningkat sebanyak 5.05 peratus berbanding bulan biasa. Ia sejajar peningkatan keseluruhan sisa pepejal ke tapak pelupusan sebanyak 2.34 peratus.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan sisa makanan, malah turut menyumbang kepada kebajikan sosial dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Mengulas punca utama pembaziran makanan pada Ramadan, beliau berkata, antaranya daripada lebihan juadah di bufet berbuka puasa serta bazar Ramadan, selain tabiat orang ramai yang cenderung membeli makanan melebihi keperluan sebenar ketika berkunjung ke bazar.
Katanya, program tahun ini memberi penekanan kepada pendidikan dan advokasi kepada peniaga supaya merancang kuantiti penyediaan juadah secara berhemah, selain menggalakkan pengunjung membeli mengikut keperluan sebenar.
“Musim perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan sisa makanan yang boleh menekan kapasiti tapak pelupusan jika tidak dikawal.
“Antara aktiviti kempen termasuk sesi perkongsian pengurusan lebihan makanan, promosi amalan pembelian bijak, galakan penggunaan semula bekas makanan, serta penggunaan aplikasi ReMeal bagi memudahkan lebihan makanan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“SWCorp turut melaksanakan inisiatif awam seperti Free Market Aidilfitri dan penyediaan sudut beg guna semula, di samping pemberian ganjaran kredit Touch ‘n Go eWallet bagi mereka yang membawa beg sendiri,” katanya.- UTUSAN










