Apabila Vijay mempelawa, sebenarnya dia memaksa aku dan isteri tinggal bersama mereka di kota metropolitan. Aku tidak dapat menolak walaupun sukar bagi kami untuk meninggalkan pekan kecil ini.
Isteriku, Malathi, juga enggan berganjak ketika mula-mula dipelawa kerana dia terpaksa meninggalkan kebun sayur, pokok-pokok buah serta pokok-pokok bunga, terutamanya pokok bunga melur yang sudah dijaga bagaikan anak kandung.
Siapa yang akan uruskan semua ini nanti? Itulah persoalan utama membuatkan kami berdua resah dan gelisah.
Seperti kebanyakan anak yang bimbang akan keselamatan ibu bapa tua mereka yang tinggal di kampung, Vijay dan isterinya turut mengambil tindakan yang sama.
Kata Vijay, dia telah pun menyediakan orang untuk menguruskan rumah di sini dan kami tidak perlu bimbang. Sebulan sekali dia berjanji akan membawa kami ke sini.
Aku tahu Vijay akan menunaikan janjinya. Dia tidak seperti dua orang abangnya.
Bukan mudah untuk meninggalkan rumah yang dibeli hasil titik peluh bekerja sebagai tukang paip di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga dengan membuat kerja-kerja sambilan ketika itu.
Di hospital pekan kecil ini jugalah ketiga-tiga anak kami dilahirkan.
Masing-masing seperti sudah tidak mengendahkan lagi tempat makan, berak dan kencing mereka dahulu. Bukan salah mereka juga, bukan? Masa dan situasi mengubah segalanya.
Aku juga seperti mereka suatu ketika dahulu. Situasi sebegini pasti akan diulangi oleh anak-anak mereka kelak.
Dengan berat hati, kami meninggalkan tempat tercinta ini menuju ke kota yang tidak menjanjikan apa-apa yang pasti.
***
“Pokok getah?”
Gayathri yang berusia enam tahun berasa sungguh hairan mendengar perihal pokok yang boleh mengeluarkan susu.
“Taatha, mana mungkin pokok boleh mengeluarkan susu?” Tanya Gayathri sambil mengejip-ngejipkan mata.
“Boleh.”
“Saya tak pernah lihat pun. Adakah susu dari pokok sedap diminum? Adakah pokok boleh beri anaknya minum susu seperti manusia dan haiwan? Amma tak pernah beli pun susu itu dari mana-mana pusat beli-belah.”
Aku tertawa mendengar soalan yang ditanya bertubi-tubi.
Anak-anak zaman sekarang tidak sama dengan generasi anak-anak aku ataupun generasi terdahulu. Mereka suka menyoal dan petah bercakap serta tidak takut dengan sesiapa pun.
“Susu dari pokok getah tidak boleh diminum, Gayathri,” kataku sambil mengusap kepala cucuku.
Gayathri yang duduk di sebelah dongak memandangku. Kemudian dia memandang ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di buaian dan gelongsor.
Seminggu sekurang-kurangnya dua kali aku datang bersama Gayathri ke taman permainan di kawasan perumahan ini aku dan isteri berpindah ke sini.
Setiap kali ke taman permainan ini bersama Gayathri, pasti aku akan menceritakan tentang kisah-kisah lampau.
Lebih-lebih lagi tentang gelagat bapanya Vijay semasa kecil dan bagaimana Vijay belajar bersungguh-sungguh hingga menjadi usahawan berjaya.
“Jadi, buat apa pokok itu bagi susu kalau bukan untuk diminum?” Gayathri masih tidak boleh menerima kebenaran tentang pokok getah.
Memang jahil sungguh anak-anak zaman sekarang, hinggakan pokok getah pun tidak kenal. Bapanya pun bukan tahu sangat tentang pokok getah, inikan pula anaknya.
Aku terbayangkan barisan pokok getah di Ladang Batu Lapan di mana aku dilahirkan. Bagaikan dalam filem lama berwarna, pokok-pokok itu bergerak laju di depan mata.
Pokok yang ditoreh mengeluarkan susu melalui saluran kecil menitis perlahan-lahan ke dalam mangkuk yang terikat pada batang pokok. Cantik. Sungguh cantik.
Soalan pokok getah ini timbul apabila Gayathri bertanya tentang asal-usul tayiru yang kami makan bersama nasi pada tengah hari tadi. Aku kata, tayiru diperbuat daripada susu lembu.
Dan aku bertanya, adakah dia tahu tentang pokok yang mengeluarkan susu?
Katanya, tidak tahu. Jadi inilah peluang aku untuk menceritakan tentang susur galur keturunan kaum India.
Aku mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar dan membuka aplikasi YouTube untuk menunjukkan video berkenaan pokok getah kepada Gayathri.
Gayathri seperti acuh tak acuh melihat skrin telefon. Tadi bukan main tanya itu dan ini.
“Malas mahu tengoklah, taatha. Saya mahu main gelongsor.”
Tiba-tiba sahaja Gayathri beralih topik. Aku mengeluh. Biar dia pergi bermain dulu. Aku memimpinnya, tetapi dalam beberapa saat sahaja dia melepaskan tangan lalu berlari laju ke menuju ke gelongsor. Aku takut dia akan terjatuh.
“Gayathri!”
Aku mahu berlari tetapi tidak boleh. Jadi, aku berjalan cepat-cepat menuju ke arahnya. Termengah juga.
“Marilah taatha, naik atas ini!” Gayathri memanggil aku sambil ketawa berdekah-dekah.
Aku tahu dia menyindir.
“Mana boleh. Ini permainan untuk kanak-kanak.”
Dia ketawa.
Setelah beberapa kali menggelongsor, Gayathri duduk di atas buaian pula.
“Tolong tolak buaian ini, Taatha!”
Aku pun pergi ke arah belakang buaian dan menolak perlahan-lahan.
“Tolak kuat sikitlah, taatha! Macam ini mana seronok!” katanya sambil menoleh-noleh ke arah belakang memandang aku dan merengek.
Aku tidak menolak sekuat yang dipinta. Dia seperti merajuk. Setelah lima kali menolak, aku memberhentikannya.
“Apalah taatha ini.”
“Lain kali kalau mahu datang lagi ke sini, kamu kena dengar cerita Taatha seperti biasa.”
“Cerita apa?”
“Kisah pokok getah tadi dan lain-lain cerita benar.”
“Bosanlah,” kata Gayathri sambil jalan melompat-lompat mendepani aku.
Kami menuju semula ke bangku tempat kami duduk tadi.
Aku mengeluarkan semula telefon bimbit dari kocek dan membuka aplikasi YouTube dan menekan tajuk yang dikehendaki.
“Lihat, inilah pokok getah yang taatha sebut tadi.”
Gayathri menundukkan kepala dan melihat video yang dimainkan.
Matanya dikecilkan melihat barisan pokok getah yang sungguh banyak. Kelihatan lelaki dan wanita sedang menoreh pokok getah. Durasi video itu mengambil masa lebih kurang 12 minit.
“Sudah puas?”
Gayathri mengangguk tetapi kemudian menggeleng. Aku masukkan kembali telefon bimbit ke dalam kocek seluar.
“Tapi saya tidak faham siapa mereka, mengapa pakaian mereka begitu dan tempat ini di mana? Pelik tengok muka dan keadaan mereka. Mengapa tak ada warna? Siapa mereka, taatha?”
“Ini adalah video diambil pada tahun 1950-an. Memang gambar-gambar dan filem dahulu tidak berwarna. Mereka yang menoreh pokok getah itu adalah keturunan kita dari India.”
“India? Kita bukan orang Malaysia, taatha?”
“Kita ini memanglah orang Malaysia tetapi nenek moyang kita semua berasal dari negara India dan datang ke tanah air ini sejak abad ke-2 Masihi.
“Ketika itu, mereka datang atas urusan perdagangan dan penyebaran agama Hindu dan Buddha. Pedagang dan pendeta dari India Selatan meninggalkan pengaruh besar pada bahasa, seni bina, adat istiadat dan sistem pemerintahan. Gayathri boleh faham?”
“Taatha, saya tak berapa fahamlah. Ini tak ada kena mengena dengan pokok getah pun.”
“Pasal pokok getah, nanti taatha akan beritahu. Ini adalah tentang sejarah awal. Dengar baik-baik. Kamu akan benar-benar faham suatu hari nanti. Yang penting kamu mengetahui sejarah asal-usul kaum kita.”
Gayathri seperti tidak menaruh minat untuk mengetahui lebih lanjut. Kepalanya digoyang-goyangkan. Dia menyanyi-nyanyikan lagu kanak-kanak Inggeris yang biasa ditonton di YouTube ketika makan.
“Duduk betul-betul Gayathri!” Kali kini suaraku meninggi.
Gayathri terkejut melihat aku meninggikan suara. Dia diam dan duduk melurus bersandar pada bangku batu.
“Gayathri, dengar ini. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, orang India datang ke negara ini sebagai pedagang, tukang, pendeta dan penasihat istana. Selepas pergi sekolah nanti, kamu akan belajar bagaimana unsur budaya India iaitu bahasa Sanskrit dan Tamil telah mempengaruhi kesusasteraan Melayu Klasik.”
“Taatha dulu kerja cikgukah?” Tanya Gayathri, matanya dibeliakkan.
“Bukan. Taatha bekerja sebagai tukang paip di JKR. Tapi taatha suka baca surat khabar dan buku. Taatha bergaul dengan semua orang. Walaupun dulu belajar di sekolah Tamil, selepas masuk kerja, Taatha selalu baca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Kawan-kawan yang bekerja di pejabat JKR yang belikan.
Apa-apa perkataan yang tak faham, taatha akan tanya rakan-rakan Melayu. Mereka pun tak lokek ilmu. Beginilah Taatha belajar bahasa Melayu,” kataku dengan rasa bangga.
“Mari taatha, kita balik rumah. Perut saya sudah lapar. Mahu makan ais krim.”
“Nanti dulu Gayathri, taatha belum habis cakap lagi. Balik rumah nanti, kamu mana nak layan taatha. Selalu dengan mainan dan tablet kamu sahaja.”
“Hmm …,” Gayathri yang sudah bangun dari bangku, duduk semula sambil menggeliat-geliat.
“Dengar sini. Dari abad ke-19 hingga abad ke-20 adalah zaman penjajahan British. Pada masa itu, orang India dibawa masuk oleh pihak British sebagai buruh kontrak
dari Selatan India terutamanya orang Tamil dan Telugu untuk bekerja di ladang getah, pembinaan jalan kereta api, jalan raya dan pelabuhan.”
“Saya tanya pasal pokok getah, taatha bercerita tentang ini semua. Saya faham sikit-sikit sahaja.”
Aku tersenyum. Gayathri masih keliru dengan pokok getah dan susunya.
“Gayathri, pokok getah berasal dari Brazil dan dibawa benihnya ke Malaya oleh Henry Nicholas Ridley pada akhir abad ke-19.
“Jadi, untuk bekerja di ladang-ladang di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor, diperlukan banyak tenaga pekerja.
“Untuk pemahaman kamu, nenek moyang kita semua kebanyakannya adalah pekerja di ladang-ladang getah suatu masa ketika dahulu. Industri dan ekonomi Malaya berkembang daripada hasil usaha, titik peluh nenek moyang kita.”
“Jom, taatha kita balik rumah. Nanti amma marah.”
“Ok, kita balik. Sambil berjalan Taatha akan ceritakan lagi tentang keturunan kita.”
“Tak mahulah, taatha, tak mahu. Lain kali saya tak mahu tanya apa-apa pun,” kata Gayathri sambil berlari-lari mendahului aku.
“Jangan lari, Gayathri! Taatha tak habis lagi cakap pasal ini.”
Ada banyak lagi perkara yang perlu diceritakan kepada Gayathri.
“Gayathri! Selain daripada pekerja buruh, ada juga sebahagian lain datang bertugas sebagai kerani, pegawai rendah, guru, peniaga, penjaja, polis, askar dan pengawal.
Dan ramai juga pendeta Hindu dibawa ke mari untuk berkhidmat di kuil.”
Aku melihat Gayathri menutup kedua-dua belah telinga dan berjalan dengan laju.
Mengapalah anak-anak zaman sekarang tidak mahu mempedulikan sejarah dan kebudayaan warisan yang diperturunkan secara turun-turun?
Dengan mengetahui jerit payah nenek moyang mereka, barulah dapat menghargai apa yang sedang kita lalui dan kecapi sekarang.
Mengapalah kesemua cucu-cucuku hendak lari apabila aku membuka mulut?
Eh, aku masih belum menerangkan tentang susu pokok getah kepada Gayathri. Mana pula dia pergi.
“Gayathri!?” –UTUSAN










