KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan melayan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa beliau menyalahguna agensi serta dana kerajaan dengan kedudukannya sebagai menteri untuk tujuan kempen politik.
“Itu biar pi lah Sanusi kan. Saya bulan puasa ini kita buat amal ibadat banyak-banyak sajalah. Toksah duk sangka buruk sangatlah.
“Lagipun dia seorang menteri besar yang hebat, memimpin The Greater Kedah tak kan la nak terkesan dengan saya yang bawa program tukar al-Quran saja,” katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026, di sini malam tadi.
Pada 28 Februari lalu, Muhammad Sanusi pada Majlis Berbuka Puasa dan Dana Pilihan Raya Pas Kawasan Kuala Kedah berkata, kesemua program melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) disusun di Kulim dan Padang Serai kerana Saifuddin akan bertanding di Parlimen Padang Serai.
Beliau berkata, semua agensi kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja kempen Saifuddin di kawasan itu sehingga menggelarnya sebagai KDN Kulim.
Dalam pada itu, mengulas tentang program berkenaan, Saifuddin berkata, sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir melibatkan mushaf bercetak, bahan digital dan audio telah diluluskan tahun lalu bagi memastikan hanya teks al-Quran yang sah dan diperakui berada dalam pasaran.
Katanya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an (APTQ) 1986 sepanjang tempoh sama merekodkan nilai RM1.98 juta yang melibatkan pemeriksaan 12,048 premis, sitaan 56,946 unit teks dan bahan al-Quran, serta pembukaan 302 kertas siasatan.
“Bagi tempoh 26 Januari hingga 8 Februari tahun ini pula, sebanyak 1,758 premis telah diperiksa dengan nilai penguatkuasaan berjumlah RM378,171 melibatkan sitaan 6,620 unit teks dan bahan al-Quran serta pembukaan 44 kertas siasatan.
“Selain penguatkuasaan, KDN turut memberi perhatian kepada aspek pemuliaan mushaf al-Quran yang rosak dan pada 15 Februari lalu, hampir 3.5 tan teks dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis telah dimuliakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










