KANGAR: Lebih 80 peratus pelanggan di bazar Ramadan Perlis kini menggunakan pembayaran tanpa tunai.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, hasil tinjauan di bazar di bawah seliaan pihaknya mendapati, semakin ramai peniaga memilih kaedah pembayaran melalui kod QR di gerai masing-masing.
“Pembayaran tanpa tunai sudah menjadi sebahagian budaya di Perlis, termasuk di kalangan warga emas yang mahir menggunakan kaedah ini. Kaedah tunai masih dilakukan, tetapi jumlahnya semakin berkurangan.
“Kami harap ia akan diterapkan di pasar-pasar malam di seluruh negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, katanya, MPK turut bercadang menganjurkan pasar malam mega di Perlis yang akan diumumkan selepas ini.
Sementara itu, kakitangan awam, Liyana Ismail, 30, berkata, dia lebih selesa menggunakan pembayaran tanpa tunai setiap kali ke bazar Ramadan.
“Saya hanya membawa telefon pintar dan semua transaksi lebih mudah melalui kod QR. Kita juga dapat mengesan jumlah perbelanjaan dengan tepat.
“Kini, ke bazar Ramadan tidak lagi menyusahkan kerana hampir semua premis perniagaan menyediakan kemudahan ini,” katanya.-UTUSAN.











