PORT DICKSON: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menjalankan pemantauan di kawasan perairan sekitar PD Waterfront di sini susulan video tular kemunculan seekor buaya tembaga di lokasi berkenaan pagi tadi.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri, berkata, siasatan awal telah dijalankan di lokasi namun setakat ini pihaknya masih belum menemukan reptilia berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan video tular di media sosial, buaya tersebut dipercayai spesies tembaga namun perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana belum menemukan haiwan tersebut.
“Pihak kami akan meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengurangkan kegusaran orang awam.
“Orang ramai yang ternampak buaya diminta segera memaklumkan kepada Jabatan Perhilitan atau pihak berkuasa serta tidak melakukan sebarang provokasi atau mengganggu haiwan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Faizal Izham menambah, pihaknya juga masih menyiasat punca kemunculan buaya berkenaan di kawasan perairan terbuka itu.
Sementara itu, pihak pengurusan PD Waterfront dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau kawasan sekitar serta turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Sehubungan itu, pengunjung juga diingatkan supaya tidak turun ke kawasan air sama ada untuk berenang, mengambil gambar atau melakukan sebarang aktiviti lain sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan PD Waterfront turut meminta pengunjung sentiasa berwaspada serta mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan daripada pihak keselamatan di kawasan berkenaan.-UTUSAN.










