GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menjangkakan tambahan peruntukan kerajaan Persekutuan yang diterima negeri itu sekitar RM10 juta hingga RM20 juta susulan beberapa penambahbaikan dalam agihan hasil kepada negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya bagaimanapun mengalu-alukan pelbagai pemberian oleh kerajaan Persekutuan bagi membantu negeri-negeri menangani isu kewangan, hasil serta beban hutang yang dihadapi.
Katanya, selain itu, kerajaan negeri turut mengalu-alukan sebarang penambahan peruntukan atau insentif kewangan termasuk pemberian yang telah diluluskan Parlimen sebelum ini seperti Capitation Grant.
Menurutnya, beberapa penambahbaikan yang diumumkan termasuk peningkatan agihan cukai pelancongan kepada negeri daripada 50 peratus kepada 100 peratus, selain negeri turut dibenarkan mengambil duti hiburan.
“Kita alu-alukan sebarang penambahan peruntukan atau insentif kewangan termasuk apa yang sudah pun diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini seperti Capitation Grant.
“Dahulunya kita menikmati 50 peratus daripada kutipan cukai hotel, tetapi sekarang diumumkan 100 peratus. Duti hiburan juga boleh diambil oleh negeri,” katanya pada sidang akhbar di Seri Mutiara, hari ini.
Majlis Kewangan Negara (MKewN) semalam bersetuju meningkatkan pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini daripada RM10.3 bilion pada 2025. – UTUSAN








