PETALING JAYA: Seorang warga Bangladesh yang pernah didakwa atas kesalahan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak diserahkan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), kelmarin.
Difahamkan, suspek dipindahkan dari Malaysia ke Alaska oleh FBI pada 4 Mac lalu.
Ia didedahkan Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel dalam platform X yang turut mengesahkan bahawa lelaki berusia 28 tahun itu dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia untuk didakwa di mahkamah Alaska, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
“FBI bersama rakan kerjasama kami menahan lelaki warga Bangladesh yang dikehendaki sejak 2022 atas beberapa pertuduhan termasuk mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.
“Sehingga malam tadi, dia sudah dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia kembali ke AS di Alaska dan akan berdepan pertuduhan di mahkamah hari ini. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya hari ini.
Kash turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kerjasama membantu siasatan dan penahanan suspek.
Sementara itu, Peguam Negara AS, Pamela Bondi dalam kenyataan berkata, suspek mendera dan mengeksploitasi ratusan mangsa bawah umur di seluruh dunia.
“Pemindahan seorang warga Bangladesh dari Malaysia adalah satu lagi contoh kejayaan usaha pentadbiran ini dalam memburu penjenayah yang bersembunyi di luar negara,” katanya.
Pada 2022, suspek yang juga pelajar perubatan sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Suspek berdepan lapan pertuduhan mengarah atau menghasilkan suatu perbuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan aplikasi Snapchat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Dokumen mahkamah pada Julai 2022 mendedahkan suspek didakwa atas pertuduhan berkaitan dakwaan penderaan dan eksploitasi ratusan mangsa bawah umur di Alaska serta di beberapa lokasi lain di AS dan luar negara.
Suspek menggunakan aplikasi media sosial termasuk Instagram dan Snapchat untuk mengenal pasti serta memaksa mangsa bawah umur menghasilkan imej dan video berunsur seksual eksplisit serta perbuatan sadistik.
FBI dan Jabatan Kehakiman AS juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia sejak September 2022 apabila dia didakwa oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia dengan 13 pertuduhan berkaitan pemilikan dan penghasilan bahan pornografi kanak-kanak. – UTUSAN











