Ambil alih IJMP beri kelebihan kepada KLK - Utusan Malaysia

Ambil alih IJMP beri kelebihan kepada KLK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan tahunan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berpotensi untuk berkembang sehingga 7.8 peratus sekiranya kumpulan itu berjaya mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam IJM Plantations Berhad (IJMP).

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, peningkatan pendapatan tahunan KLK dianggarkan 4.4 peratus sementara senario pengambilalihan kepentingan terhad kepada 56.2 peratus.

Pada 11 Jun lalu, IJM Corporation Berhad (IJM) telah menerima tawaran pengambilalihan itu setelah kumpulan melihat tawaran pembelian kepentingan pada harga RM3.10 sesaham adalah berpatutan.

Seterusnya, KLK dijangka memberikan tawaran berwajib ke atas seluruh pemegang saham minority IJMP pada harga tawaran yang sama dengan dividen 10 sen sesaham.

“Memandangkan trend pendapatan yang tidak menentu di IJMP, kami percaya itu merupakan peluang baik untuk pemegang saham IJMP keluar daripada syarikat itu.

“Setelah pendapatan tertingginya pada 2016, harga dan penilaian IJMP telah menurun sebelum tawaran itu lagi, ditambah dengan kebimbangan terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mustahil saham Kumpulan itu akan kembali ke tahap tertinggi seperti sebelumnya,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, sekiranya langkah pengambilalihan itu berjaya, ladang KLK akan meningkat sebanyak 28.6 peratus kepada 274,377 hektar, lebih luas berbanding pesaing-pesaingnya seperti IOI Corporation Berhad (178, 068 hektar) dan Genting Plantations Berhad (159,521 hektar).

Firma tersebut juga percaya kewangan KLK akan kekal stabil walaupun nisbah penggearan tinggi.

“Kami berpendapat sinergi boleh dicapai daripada pelbagai faktor seperti pengurangan kos, kemahiran pekerja dan teknologi yang digabungkan selain peningkatan pendapatan.

“Sinergi operasi juga boleh dicapai berdasarkan geografi tanah yang sama, di mana kedua-dua kumpulan mempunyai estet di Sabah dan Kalimantan Timur,” tambah MIDF.

Dalam pada itu, ujarnya, KLK dan IJMP juga telah memeterai usaha sama pada Mac lalu untuk membina kilang memproses isirong dan jeti di Kalimantan Timur.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sekiranya pengambilalihan itu berlaku, KLK akan menjadi syarikat perladangan gergasi yang akan memberi kesan kepada FGV, Genting Plantation, Sime Darby, IOI Plantation dan United Plantation.

“Namun, orang ramai mungkin akan risau jika pertumbuhan dan transaksi pengambilalihan yang agresif itu berterusan, KLK akan memonopoli pengeluaran dari pemilikan ladang serta pembuatan dan penawaran industri hiliran berkaitan sawit bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara dan pintu keluar ke Eropah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×