KUALA LUMPUR: Bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong Hanifah dilantik sebagai jurulatih sepenuh masa skuad e-Racing kebangsaan, sekali gus memperkukuh persiapan Malaysia menghadapi temasya sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, pelantikan itu sebahagian daripada penstrukturan semula program atlet podium bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha memperkemaskan persiapan ke Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027.
“Untuk e-Racing, kita melihat kelebihan besar dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Alex Yoong.
“Beliau akan bertugas sepenuh masa bermula April ini bagi memastikan program latihan lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN.
Katanya, buat pertama kali sejak e-sukan diangkat sebagai sukan teras negara, MESF memperkenalkan kategori atlet sepenuh masa dan separuh masa, selain melantik jurulatih tetap bagi beberapa judul permainan utama.
“Bagi kategori sepenuh masa, kita telah memuktamadkan beberapa judul seperti eFootball, Identity V dan e-Racing.
Tambah Naim, pelantikan jurulatih tetap turut melibatkan judul seperti e-Football, Identity V dan Magic Chess, selari dengan sasaran pingat yang telah dibentangkan kepada MSN.
Mengulas mengenai persiapan ke Sukan Asia, beliau menjelaskan terdapat 11 judul dipertandingkan, dengan Malaysia sudah pun layak secara automatik satu daripadanya selaku penyandang pingat sementara bagi judul yang lain perlu melepasi kelayakan.
“Baki 10 lagi judul sedang kita perhalusi dari segi program latihan dan pembangunan prestasi bagi memastikan sasaran pingat mampu direalisasikan,” ujarnya. – UTUSAN










