Amanah Johor mahu rampas DUN Puteri Wangsa

Amanah Johor mahu rampas DUN Puteri Wangsa

ZUHAN ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berhasrat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Pengerusinya, Dr. Zuhan Zain berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang rundingan politik dengan Muda sebagaimana yang pernah dibuat pada PRN Johor lalu atas semangat kerjasama dan kesepakatan gabungan.

Sehubungan itu katanya, Amanah Johor akan membawa perkara itu ke mesyuarat Pakatan Harapan (PH) negeri yang akan diadakan kelak.

“Keputusan itu menandakan pendirian tegas kami terhadap Muda yang telah menarik sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan bercanggah dengan usaha mengekalkan kestabilan politik negara.

“Sebarang kerjasama politik mestilah berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat serta komitmen terhadap kestabilan kerajaan. Tindakan menarik sokongan secara unilateral adalah tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zuhan, pada PRN Johor lalu, kerusi DUN Puteri Wangsa diperuntukkan kepada Muda atas dasar kepercayaan dan strategi bersama untuk memperkukuh blok reformasi, namun perkembangan politik semasa membuktikan sebaliknya.

“Amanah Johor akan terus memperkukuh kedudukan PH dan kerajaan perpaduan serta memastikan setiap kerusi ditandingi mencerminkan kestabilan, kesepaduan dan prinsip perjuangan yang jelas,” katanya.

Pada PRN Johor lalu, Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz menang di kerusi DUN berkenaan dengan memperolehi 18,891 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ng Yew Aik yang meraih 14,362 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong yang memperolehi 7,914 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×