GUA MUSANG: Seorang wanita warga emas tidak dapat menahan sebak selepas menerima bantuan wang zakat daripada pihak Hentian Gua Musang di sini, yang membolehkannya membeli lampin pakai buang untuk cucunya yang terlantar lumpuh sejak bayi.
Mek Esah Hamad, 70, yang tinggal di Taman Sultan Ismail Petra di sini berkata, cucunya itu, Muhammad Syafiq Syazwan Mohd. Zaili, 28, terlantar sakit dan tidak dapat berjalan sejak berusia lima bulan.
“Muhammad Syafiq Syazwan dilahirkan normal seperti bayi lain namun keadaannya berubah selepas dibawa mendapatkan rawatan dari hospital apabila badannya menjadi lembik dan terus tidak boleh berjalan. Dia kini hanya dapat bercakap.
“Sejak kejadian itu, dia memerlukan penjagaan sepenuh masa termasuk diuruskan makan minum, mandi dan pemakaian lampin pakai buang setiap hari,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Hentian Gua Musang di Masjid Mutiara Hentian Gua Musang di Tanah Putih, di sini.
Mek Esah berkata, walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, ia belum mencukupi kerana hampir sama dengan kos membeli lampin pakai buang.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Hentian Gua Musang, Che Ibrahim Che Ismail berkata, seramai 270 individu menerima sumbangan zakat yang terdiri daripada golongan fakir miskin, asnaf dan anak yatim yang tinggal di kampung sekitar daerah ini.
Katanya, sumbangan zakat tersebut adalah program tahunan yang dilakukan pihaknya sejak 14 tahun lalu bagi membantu masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.-UTUSAN.










