KUALA NERUS: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin merupakan dua ahli Parlimen yang sesuai dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kedua-duanya dilihat paling sesuai kerana berlatar belakang teknokrat dan bukannya daripada bekas pemimpin UMNO.
“Pada pandangan peribadi saya, dua ahli Parlimen paling sesuai untuk dilantik sebagai ketua pembangkang ialah Dr. Ahmad Samsuri mewakili Pas dan Mohd. Radzi.
“Jika Pas berasa perlu melakukan sedikit kelainan terutama membabitkan pelantikan ketua pembangkang, Mohd. Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya paling sesuai dan layak.
“Pada pandangan peribadi saya, jika Dr. Ahmad Samsuri dan Mohd. Radzi dilantik sebagai ketua pembangkang, gabungan kedua-dua tokoh ini akan memberi cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) untuk terus menguasai kepemimpinan negara,” katanya yang mewakili Ahmad Samsuri merasmikan majlis penutup Pelita Raya di pekarangan stadium tertutup Gong Badak di sini semalam.
Sementara itu, Razali berkata, komposisi kerusi paling banyak di Parlimen sememangnya melayakkan Pas mencalonkan ahli Parlimennya sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pas ketika ini memiliki 43 ahli Parlimen selepas memenangi jumlah terbesar kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
PN dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti gabungan itu termasuk memutuskan ketua pembangkang di Parlimen pada Sabtu ini.-UTUSAN.










