KUANTAN: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, semalam atas dua pertuduhan iaitu memijak naskhah al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu dalam media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, S. Vikneswaran, 21, didakwa mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu senaskhah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama berkenaan di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota, di sini, kira-kira pukul 1.30 petang, 22 Februari lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya kerana memuat naik hantaran jelik melampau dalam media sosial dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Pengarah Pendakwaan negeri, Shahrizat Ismail memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
Peguam tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman merayu jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guam masih pelajar manakala bapanya hanya bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
Hakim Harmi Thamri Mohammad membenarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan oleh seorang penjamin selain tertuduh diarah melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading setiap awal bulan.
Mahkamah juga meminta dimaklumkan jika tertuduh dan keluarga berpindah dari kediaman mereka sekarang manakala kes disebut semula pada 8 April ini.
Sementara itu, Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mempunyai rekod pendaftaran mualaf membabitkan pelajar itu di Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
“Pihak mendakwa mengislamkan pelajar itu sepatutnya memaklumkan kepada pihak berwajib untuk pendaftaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa individu itu sebenarnya seorang muslim dan mualaf.-UTUSAN










