Perang Iran-AS, Israel berlarutan 4 minggu

Perang Iran-AS, Israel berlarutan 4 minggu

Penyokong Houthi di Yemen, kelmarin membantah tindakan Ameriksa Syarikat (AS) dan Israel yang membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang Iran-Amerika Syarikat dan Israel dijangka berlarutan selama empat minggu apabila Presiden Donald Trump bertekad untuk mencapai semua objektif Washington dalam misi ketenteraan yang dilancarkannya Sabtu lalu.

Trump menyatakan, objektif kempen ketenteraan tersebut adalah untuk memusnahkan ke­upayaan nuklear dan ketenteraan Iran.

Beliau turut memaklumkan setakat ini tiga tentera AS telah terkorban dan memberi amaran lebih ramai nyawa akan hilang bagi mencapai misi beliau itu.

Laporan yang tular di media sosial pula mendakwa, le­bih 100 tentera AS terkorban dan lebih 200 lagi cedera susulan tindak balas Iran.

Trump turut mengumumkan dalam satu ucapan bahawa “operasi tempur utama” oleh AS juga sedang dijalankan.

“Objektif kami adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran. Kami akan memastikan Iran ti­dak memperoleh senjata nuklear,” katanya dalam satu video yang dikongsi di media social.

Sementara itu, pegawai ke­selamatan tertinggi Iran, Ali La­ri­jani mengesahkan, negara itu tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat.

Tindakan ketenteraan AS dan Israel itu mula merebak apabila pejuang Hizbullah di Lubnan dilaporkan mula melancarkan gerakan menentang AS untuk membalas dendam di atas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Tindakan AS dan Israel itu mengejutkan dunia dengan pasaran kewangan dan harga minyak mentah global me­ningkat mendadak susulan kebimbangan berlaku gangguan bekalan.

Turut menerima tempias ialah harga emas yang dilaporkan melonjak tinggi, sementara pasaran saham global terjejas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengutuk sera­ngan itu. Namun, belum ada sebarang tindakan drastik diambil bagi meredakan ke­tegangan.

Malaysia turut mengutuk keras tindakan AS dan Israel serta menggesa gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan berterusan ke atas Iran adalah bertentangan dengan prinsip yang disepakati dunia.

Tegas Anwar, tindakan AS dan Israel berisiko menyebabkan ketegangan lebih besar hingga menyebabkan ketidakstabilan serantau terutama di negara-negara teluk yang kebanyakannya sudah diheret ke dalam kancah peperangan.

“Hari ini Iran, semalam Lubnan, sebelum ini Iraq, Syria dan pembantaian terhadap umat serta rakyat Gaza, Palestin berterusan hingga kini.

“Kita tidak ada pilihan me­lainkan untuk me­nyatakan dengan tegas serta jelas bahawa tindakan ini bertentangan dengan peraturan dunia dan harus dibantah dengan keras,” kata­nya di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar turut menyifatkan tindakan AS dan Israel itu pencabulan terang-terangan terhadap prinsip kedaulatan dan undang-undang anatarabangsa serta mengancam kestabilan serantau dan keamanan global.

Beliau turut menyeru negara-negara Teluk kembali bersatu dan melakukan rundingan bagi mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau mereka.

“Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke satu negara yang lain akan terus berlaku seperti mana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×