Penantian sedekad peneroka Felda Bukit Goh

Penantian sedekad peneroka Felda Bukit Goh

GENERASI baharu Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang berharap bulan Ramadan ini membawa khabar gembira setelah 10 tahun tiada punca pendapatan kesan daripada perlombongan bauksit. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas sedekad menanti tanpa sebarang hasil, seramai 671 peneroka dan generasi kedua di Felda Bukit Goh di sini terus mengharapkan Ramadan kali ini membawa khabar gembira buat mereka sekeluarga.

Harapan mereka kini terarah kepada penyelesaian berhubung isu tanah seluas 2,428 hektar yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di tanah rancangan berkenaan.

Kemelut berpanjangan itu sehingga kini masih belum mene­mui jalan penyelesaian, sekali gus menjejaskan sumber penda­patan ratusan keluarga yang terkesan.

Generasi kedua, Rosman Jabar, 54, berkata, tempoh penantian yang terlalu lama amat menguji kesabaran peneroka dan keluarga mereka.

Katanya, kehilangan punca rezeki sejak 2016 memberi kesan besar kepada kehidupan harian, termasuk perbelanjaan pendidikan anak-anak serta komitmen kewangan lain.

“Kami difahamkan ada syarikat yang berminat membangunkan projek di kawasan ini dan bersedia menyalurkan ‘gaji’ awal kepada peneroka sekiranya perancangan itu menjadi kenyataan.

“Jika benar, ini tentunya berita paling menggembirakan buat kami, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peneroka di tanah rancangan itu hilang punca pendapatan sejak aktiviti perlombongan bauksit dihentikan pada 2016 susulan isu pencemaran debu merah yang menimbulkan kebimbangan penduduk.

Aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, khususnya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng, dipercayai bermula sejak pertengahan 2014 sebelum kerajaan Persekutuan mengenakan moratorium bermula 15 Januari 2016.

Moratorium tersebut dilaksanakan berikutan pelbagai isu termasuk pencemaran alam sekitar, keselamatan jalan raya dan ancaman kesihatan akibat aktiviti yang didakwa tidak terkawal.

Rosman berkata, peneroka terbuka menerima apa sahaja bentuk pembangunan sama ada perladangan moden, projek tenaga boleh diperbaharui atau pembangunan bercampur, asalkan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

Katanya, apa yang paling penting ketika ini adalah kepastian dan tindakan segera, bukan lagi janji atau perbincangan tanpa hasil.

Sementara itu, Azman Mahat, 53, turut meluahkan kekecewaan kerana tanah yang diwarisi tidak memberikan sebarang pulangan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, tanah yang diwarisi daripada ibu bapa mereka kini seolah-olah terbiar tanpa sebarang hasil.

“Kami hanya mahukan kepastian. Apa sahaja projek yang boleh dilaksanakan, kami sokong asalkan ada pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Menurutnya, Ramadan adalah waktu terbaik untuk kerajaan dan Felda mengumumkan sesuatu yang mampu mengembalikan semangat peneroka.

“Kami mahu sambutan Aidilfitri diraikan dengan senyuman, bukan dengan keresahan,” katanya.

Bagi Mohamad Azlan Abdullah, 37, pula, penantian panjang itu memberi kesan besar kepada generasi muda di situ.

“Kami mahukan masa depan lebih terjamin. Sudah lama menunggu, sekarang kami hanya mahu kepastian dan tindakan segera.

“Jika ada projek solar atau pembangunan lain, itu lebih baik. Kami sokong penuh kerana ia membuka peluang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×