KUANTAN: Akibat komplikasi pelbagai penyakit, seorang wanita dari Kampung Sungai Karang Pantai di sini, sudah dua tahun tidak dapat tidur lena, menjadikan kehidupannya seolah-olah terpenjara dalam derita yang tiada penghujung.
Norhafaiza Taib, 45, yang berdepan masalah buah pinggang tahap empat, kerosakan saraf mata, kencing manis, darah tinggi dan kemurungan berkata, gangguan tidur itu memaksanya bergantung kepada ubat tidur setiap malam.
“Bayangkan dua tahun hidup tanpa tidur yang sempurna. Kesakitan saraf dan sendi membuatkan saya tidak mampu berehat. Saya terpaksa bergantung kepada ubat tidur untuk sekurang-kurangnya melelapkan mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norhafaiza berkata, keadaan kesihatannya semakin merosot selepas doktor mengesahkan kerosakan pada mata mencecah 90 peratus.
“Doktor beritahu peluang pembedahan hanya 50-50. Tiada jaminan saya akan pulih,” katanya.
Dia yang pernah berkhidmat lebih 13 tahun dalam program kebajikan berkata, kos rawatan dan ubat-ubatan semakin membebankan kerana tidak semua ubat dibekalkan hospital.
“Saya terpaksa beli sebahagian ubat dari luar. Kos ini ditanggung sendiri dan ia terlalu membebankan. Suami hanya bekerja sebagai nelayan, pendapatan tidak menentu kerana bergantung kepada hasil laut,” katanya.
Norhafaiza merayu orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kos rawatan dan ubat-ubatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi wanita itu di talian 014-5090842 atau menyalurkan sumbangan ke akaun RHB 15605000041459 atas nama Norhafaiza Taib. – UTUSAN











