Terengganu selaras waktu operasi pusat karaoke

Terengganu selaras waktu operasi pusat karaoke

WAN Sukairi Wan Abdullah (tengah) menggoreng churros bersama peniaga selepas merasmikan program Selepek Sahur di tapak Payang Walk di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menetapkan semua pusat karaoke dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, arahan tersebut bukan hanya terpakai sepanjang Ramadan, sebaliknya dikuatkuasakan pada bulan-bulan lain bagi menyeragamkan waktu operasi di seluruh negeri.

Katanya, sebelum ini kerajaan membenarkan pusat karaoke beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 1 pagi kecuali pada hari Jumaat, namun terdapat percanggahan pelaksanaan antara PBT.

“PBT sudah diarahkan untuk membuat penyeragaman semula pengoperasian pusat karaoke di seluruh negeri, terutama membabitkan masa operasi.

“Sebelum ini ada tempat beroperasi sehingga pukul 10 malam dan ada yang sehingga pukul 1 pagi. Kita juga menerima aduan daripada pengusaha berhubung tempoh operasi yang disingkatkan daripada 16 jam kepada 13 jam,” katanya selepas merasmikan program Selepek Sahur di Tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar, di sini.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri memutuskan tidak melanjutkan tempoh operasi sehingga pukul 1 pagi seperti yang dituntut oleh sebahagian pengusaha pusat karaoke.

“Semua pusat karaoke atau tempat hiburan keluarga masih dibenarkan beroperasi pada bulan Ramadan, namun hanya sehingga pukul 10 malam dan bukannya sehingga pukul 1 pagi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×