PETALING JAYA: Dua wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan kayu hutan tanpa dokumen sah dalam serbuan di Kampung Lubok Bongor, Jeli, Kelantan semalam.
Serbuan kira-kira pukul 5.40 petang itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu antara Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dilakukan terhadap sebuah premis dan terdapat dua individu di lokasi terbabit.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti memotong dan memproses pelbagai jenis kayu hutan tanpa sebarang dokumen atau permit yang sah.
“Susulan itu, dua wanita tempatan berusia 38 dan 40 tahun yang bekerja sebagai kerani dan pegawai kawalan kualiti kilang ditahan bagi membantu siasatan.
“Pelbagai peralatan pemprosesan kayu dan jentera termasuk sebuah jentera jenama Caterpillar, jentera berwarna kuning jenama tidak pasti, generator, tujuh mesin band saw serta beberapa longgokan kayu pelbagai saiz dan spesies termasuk kayu balak pendek atau bulat.
“Nilai rampasan mesin dan peralatan dianggarkan sebanyak RM570,014 manakala nilai kayu balak dan spesies dianggarkan RM4.4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kira-kira RM5.17 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua individu serta barang kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Pemeliharaan Hutan Jajahan Tanah Merah, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.
“Kejayaan operasi tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan operasi bersepadu antara Polis Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras kegiatan jenayah berkaitan sumber hutan.
“Operasi seumpama itu akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan aktiviti penerokaan dan pemprosesan kayu secara haram dapat dibanteras secara berkesan,” ujarnya.
Tegas beliau, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan operasi bersepadu secara berterusan bagi membanteras aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu haram.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.- UTUSAN









