JOHOR BAHRU: Seramai 267 warganegara Indonesia yang ditahan pihak berkuasa negara ini atas pelbagai kesalahan termasuk masuk secara haram, telah dihantar pulang bermula kelmarin oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru selepas proses dokumentasi mereka selesai.
KJRI Johor Bahru dalam satu kenyataan memberitahu, antara yang dihantar pulang termasuk seorang ibu mengandung, dua pesakit berpenyakit serius termasuk tuberkulosis (tibi) dan seorang pesakit mental.
Menurut kenyataan itu, proses penghantaran pulang selama dua hari berkenaan melibatkan 180 lelaki dan 87 wanita.
“Penghantaran pulang dibuat menerusi dua laluan utama iaitu Johor–Batam serta Melaka–Dumai dalam usaha memastikan kebajikan warga Indonesia yang ditahan pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai kesalahan terbela.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 daripada mereka ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Pahang dihantar pulang melalui Pelabuhan Pasir Gudang ke Batam pada 27 Februari pukul 10 pagi menaiki feri MDM Express.
“Pada pukul 12.30 hari sama, 118 lagi membabitkan tahanan dari Depoh Pekan Nenas, Johor, Depoh Aji, Selangor dan Depoh Lenggeng, Negeri Sembilan turut dihantar pulang ke Batam menaiki feri MDM Express 02,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, seramai 114 warga Indonesia dari Depoh Machap Umboo, Melaka dihantar pulang ke Dumai, Riau melalui Pelabuhan Antarabangsa Melaka pada 28 Februari pukul 2 petang menaiki feri Indomal Dynasty.
“Majoriti yang dihantar pulang berasal dari Jawa Timur, Sumatera Utara, Aceh, Riau dan Nusa Tenggara Barat (NTB). Kebanyakan mereka dideportasi selepas didapati melakukan pelanggaran peraturan imigresen di Malaysia.
“KJRI Johor Bahru bekerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur bagi melancarkan proses pemulangan dengan mengeluarkan 121 Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) kepada individu yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, sejak Januari hingga Februari lalu, KJRI Johor Bahru telah melaksanakan proses menghantar pulang melibatkan seramai 1,024 warga Indonesia. – UTUSAN










