Hasrat beraya bersama ibu tak kesampaian

Hasrat beraya bersama ibu tak kesampaian

ZAHARAH Hamzah menunjukkan gambar kenangan bersama anaknya, Nur Khairiah Mat Mazlin ketika beraya bersama keluarga di Endau, Mersing, tahun lalu. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan untuk berpindah dan memulakan kehidupan baharu bersama ibunya selepas Aidilfitri tidak kesampaian apabila remaja itu maut dalam kemalangan di Jalan Tambak Paya, awal pagi semalam.

Mangsa, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek, sebelum ini merancang untuk tinggal bersama ibunya di Endau, Mersing dan proses pertukaran sekolah dijadualkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ibunya, Zaharah Hamzah, 43, berkata, mereka sudah berbincang mengenai rancangan tersebut dan arwah menyatakan keinginan untuk menetap bersamanya.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, anaknya menghubungi dan memaklumkan hasrat untuk pulang serta terus tinggal di Endau.

“Dia memang nak sangat duduk dengan saya dan saya pun dah rancang lepas raya nak urus pertukaran sekolah dia.

“Dia minta nak pakai baju songket warna biru navy untuk raya tahun ini, saya dah belikan dalam talian seperti yang dia mahu, tapi tak sempat dia pakai,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, semalam.

Zaharah yang sudah lebih 10 tahun berpisah dengan bapa arwah berkata, walaupun tidak tinggal sebumbung, hubungan mereka sangat rapat dan pada awal Ramadan lalu arwah sempat pulang ke Endau untuk berbuka puasa bersama.

Beliau hanya mengetahui tragedi itu kira-kira pukul 4 pagi selepas menerima panggilan daripada bekas suami ketika sedang menyiapkan juadah bersahur.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, disifatkan sebagai anak sulung yang bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga.

Ibunya, Siti Norashikin Khairudin, 33, berkata, arwah sering menyediakan juadah berbuka untuk adik-adik serta neneknya yang tinggal bersama mereka.

“Saya dimaklumkan kawan dia yang telefon dalam keadaan menangis suruh datang segera. Saya sangka kemalangan biasa sebab sebelum ini dia pernah jatuh motosikal, cuma luka ringan.

“Tapi bila saya sampai dan nampak dia terkulai dari jauh, saya memang tak kuat,” katanya.

Menurutnya, arwah memahami keadaan keluarga apabila dimaklumkan tidak mampu menyediakan baju raya baharu tahun ini dan sebelum ini pernah bekerja di kedai makan bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga remaja termasuk seorang pelajar perempuan maut selepas motosikal yang ditunggang dan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Tambak Paya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, Muhammar Adiff Farihin Mohd. Anuar, 15; Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16; serta pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Manakala, seorang lagi penunggang, berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki serta kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×