JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaut keuntungan ribuan ringgit apabila mengutip derma di lokasi tumpuan menggunakan logo Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kononnya untuk kebajikan Islam, sejak beberapa bulan lalu.
Penampilan lelaki berusia 50-an itu yang berpakaian baju Melayu beserta sampin dan songkok berjaya menyakinkan orang awam untuk menghulurkan wang ke dalam kotak yang disediakan.
Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya terbongkar selepas penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan lelaki tersebut di sebuah lokasi Bazar Ramadan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, sebelum tangkapan dibuat, lelaki tersebut turut meminta derma daripada anggota penguatkuasa yang berpakaian preman.
“Lelaki ini menyalahguna logo MAIJ untuk mengutip derma kononnya demi kebajikan Islam, dia turut mendakwa telah menerima kebenaran berbuat demikian.
“Semakan bagaimanapun mendapati tiada kebenaran diberi seperti didakwa. Sehubungan itu lelaki tersebut ditahan, manakala sejumlah wang dan dokumen sokongan palsu dirampas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah JAINJ, lelaki tersebut akhirnya mengaku telah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu, dengan wang derma orang ramai digunakan bagi tujuan peribadi.
“Sindiket kutip derma tanpa kebenaran semakin berleluasa pada bulan Ramadan kerana orang Islam ringan tangan untuk bersedekah dalam bulan mulia ini. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar menderma melalui saluran betul,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003. – UTUSAN










