KLUANG: Seorang bapa dan anak remaja lelakinya ditangkap kerana disyaki mencuri komponen paip di lorong belakang bangunan Jalan Lambak, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan tersebut pada pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, tindakan kedua-dua suspek dilihat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Bertindak atas maklumat, Ops Cantas yang dijalankan berjaya menahan kedua-dua suspek pada pukul 5.40 petang hari sama. Mereka ditahan di tepi jalan Haji Abdul Aziz Awab, Kluang Baru.
“Suspek pertama berusia 38 tahun, manakala seorang lagi suspek adalah anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan tidak bersekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah Bahrin, semakan dibuat mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan tiga kes dadah manakala anaknya tiada sebarang rekod.
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua tangkapan didapati negatif. Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN











