PETALING JAYA: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa telah dipilih untuk menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang dalam perbincangan dalaman gabungan itu baru-baru ini.
Sumber dalaman PN memberitahu, perkara berhubung jawatan ketua pembangkang sememangnya dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 22 Februari lalu.
“Ketua Pemuda PN daripada Pas mencadangkan supaya Ketua Whip diangkat sebagai ketua pembangkang manakala wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut.
“Sepatutnya perkara itu diumumkan sekali gus bersama pengumuman nama Pengerusi PN, namun Takiyuddin tidak membuat sebarang pengumuman mengenainya ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN tidak mahu tergopoh-gapah menyelesaikan isu kedudukan ketua pembangkang kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk pandangan kepemimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen lain serta perhitungan politik.
Katanya, kedudukan ketua pembangkang disandang Hamzah yang dipecat daripada Bersatu bukan keputusan individu atau sebuah parti tetapi dibincangkan bersama pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mempunyai hak dalam Perlembagaan.
Pada masa sama, kata beliau, PN memberi tumpuan untuk menggabungkan seramai mungkin ahli Parlimen supaya kekuatan blok pembangkang lebih tersusun dan berkesan di Dewan Rakyat.
“Kemudian sidang Parlimen (Dewan Rakyat) tinggal dua hari lagi. Tidak perlu kita gopoh dan kita mahu perkasakan PN. Nak usaha supaya seramai mungkin ahli Parlimen bersama PN bukan sahaja daripada Pas dan Bersatu,” katanya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang kekal sehingga penghujung sidang Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata, tiada notis rasmi diterima berhubung pertukaran jawatan berkenaan setakat ini.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tugas untuk menamakan ketua pembangkang yang baharu adalah tugas MT PN dan perlu diputuskan dalam Mesyuarat MT PN.
“Tugas untuk memperakui ketua pembangkang yang baharu adalah tugas dan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Perakuan akan dibuat hanya selepas MT PN mengangkat nama tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bukannya dalam baki masa dua hari Dewan Rakyat bersidang.
“Tugas ini lebih mudah lagi jika dasar dan keputusan berkaitan perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN, 22 Februari lalu,”katanya.-UTUSAN.










