Pakistan isytihar perang terhadap Afghanistan - Utusan Malaysia

Pakistan isytihar perang terhadap Afghanistan

JET-Jet pejuang Pakistan mengebom Kabul, semalam. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan pada Jumaat secara rasmi mengisytiharkan perang terhadap pihak berkuasa Taliban di Afghanistan, susulan peningkatan mendadak pertempuran bersenjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Kesabaran kami sudah mencapai hadnya,” kata Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif menerusi satu hantaran di platform X, ketika laporan mengenai siri letupan dan berbalas tembakan mula kedengaran dari Kabul serta Kandahar.

Menteri Pakistan tersebut menyatakan bahawa selepas pengunduran tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), pihaknya mengharapkan keamanan akan wujud di Afghanistan manakala Taliban akan mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kestabilan serantau. 

Bagaimanapun, beliau mendakwa perkara sebaliknya berlaku apabila Afghanistan kini dianggap telah menjadi sebuah koloni India atau berada di bawah kawalan New Delhi.

Khawaja turut mengecam kerajaan Taliban kerana ‘merampas’ hak asasi manusia daripada rakyatnya sendiri.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan tersebut telah meragut hak-hak yang diberikan oleh Islam kepada wanita.

Khawaja menambah bahawa walaupun Islamabad telah melakukan segala usaha untuk memastikan situasi kekal normal namun masih terdapat cubaan untuk menjadikan Pakistan sebagai sasaran pencerobohan.

“Sekarang adalah perang terbuka antara kami dan kamu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi menyifatkan tindakan ketenteraan terbaru negara itu sebagai satu jawapan yang setimpal terhadap apa yang digelar sebagai pencerobohan Afghanistan. 

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas pegawai Taliban mendakwa pihaknya telah menyerang kedudukan tentera Pakistan di sepanjang sempadan sebagai tindak balas terhadap serangan udara sebelum ini.

Menurut hantaran jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid di platform X, tentera Afghanistan telah melancarkan operasi balas dendam secara meluas terhadap kedudukan tentera Pakistan di arah Kandahar dan Helmand.

Pegawai Afghanistan mendakwa puluhan askar Pakistan terbunuh dan beberapa yang lain ditawan dalam pertempuran itu, yang menurut mereka dicetuskan oleh serangan udara yang menyebabkan kematian orang awam beberapa hari sebelum ini. 

Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kebanyakan lintasan sempadan darat ditutup sejak pertempuran maut pada Oktober tahun lalu yang mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua pihak.

Beberapa pusingan rundingan diadakan selepas gencatan senjata awal yang diusahakan oleh Qatar dan Turki, namun usaha tersebut gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×