BUTTERWORTH : Satu kejadian mendapan tanah yang membentuk lubang benam berukuran kira-kira dua meter dari segi diameter dan berkedalaman 1.5 meter dilaporkan berlaku di Jalan Bagan Lalang di sini, petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, ini kali ketiga kejadian itu berlaku di jalan yang sama sejak lima tahun yang lalu.
Syn Tze berkata, berbanding dua kejadian terdahulu, insiden kali ini lebih memberi kesan dan mungkin mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya kebocoran pada saluran air bawah tanah di laluan berkenaan susulan mendapan tersebut.
“Pihak IWK (Indah Water Konsortium) telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka juga mengesyaki bahawa kebocoran itu memang berlaku.
“Jadi, buat masa ini, kita akan tunggu laporan penuh daripada mereka untuk mengesahkan punca sebenar kejadian sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Syn Tze turun padang meninjau keadaan jalan tersebut bersama beberapa kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang diketuai oleh Jurutera daerah, Mohd Zuwairi Samsuddin.
Jelas Syn Tze, ketika ini, kontraktor IWK telah mengambil tindakan segera dengan menutup sementara lubang berkenaan menggunakan batu kasaran (crusher run), selain memasang hadangan keselamatan serta lampu kelip di sekeliling kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pada masa yang sama katanya, lampu limpah turut dipasang bagi tujuan keselamatan khususnya pada waktu malam atau awal pagi bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku memandangkan jalan tersebut sering dilalui oleh pelbagai kenderaan termasuk lori,” katanya. – UTUSAN










